Menteri mesti tunjuk teladan baik, kata Ahmad Shabery


shadow

Tidak mudah untuk bergelar menteri – itu yang dinyatakan seorang ahli politik kanan dan bekas anggota kabinet, Ahmad Shabery Cheek, hari ini.

Sudah tentu bercakap berdasarkan pengalamannya, Ahmad Shabery berkata, dia diajar bahawa dengan adanya pengenalan sebagai seorang menteri tanggungjawab yang dipikul jauh lebih berat berbanding orang biasa.

“Kena tunjuk teladan terbaik. Langsung tak boleh langgar peraturan dan undang-undang. Susah!” katanya melalui hantaran di media sosial pagi ini.

Tanpa merujuk atau memetik nama sesiapa, hantaran bekas menteri di itu sudah tentu menarik perhatian kerana ia dibuat ketika orang ramai menyatakan rasa berang terhadap salah seorang anggota kabinet Muhyiddin Yassin sekarang.

Baru-baru ini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, didapati tidak melakukan kuarantin kendiri walaupun ia ditetapkan begitu oleh kerajaan Malaysia untuk sesiapa saja yang baru pulang dari luar negara.

Hal mengejutkan itu didedahkan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok, di Dewan Rakyat pada 18 Ogos lalu. Kata wakil rakyat DAP itu, Khairuddin berkunjung ke Turki pada 3 hingga 7 Julai.

Dia kemudian hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai iaitu kurang dari 14 hari daripada tempoh kuarantin wajib yang ditetapkan kerajaan.

Untuk rekod 13 Julai adalah tarikh Muhyiddin Yassin mengemukakan usul menggantikan Mohamad Ariff Md Yusof dengan Azhar Harun sebagai speaker Dewan Rakyat.

Polis pun tak tahan

Melalui usul berkenaan kerajaan Perikatan Nasional mencadangkan agar Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.

Dalam undian tersebut, usul dibawa Muhyiddin menang dengan kelebihan undi yang tipis, iaitu 111 menyokong berbanding 109 menolak.

Mengulas isu kuarantinnya, Khairuddin pada 20 Ogos dipetik Harian Metro sebagai enggan memberikan komen lanjut sebaliknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memberikan jawapan.

Tunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan tunggu saja kenyataan termasuk keputusan rasmi ujian Covid-19 KKM,” kata salah seorang ulama kanan PAS itu.


Setakat berita ini ditulis, KKM belum ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung status Khairuddin.

Sebelum ini pada 14 Ogos lalu seorang wanita warga emas dihukum penjara sehari dan denda RM8,000 kerana disabitkan bersalah melanggar arahan kuarantin yang ditetapkan mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ahmad Shabery berkata dia pernah dimaklumkan oleh kawannya bahawa perkataan “Menteri” yang tertera pada kenderaan anggota kabinet membuka banyak ruang kemudahan.

“Senang nak parking di mana-mana. Kalau bawaklaju pun polis tak tahan.

“Saya kata, cikgu saya ajar, kalau ada perkataan itu, bebannya lebih besar,” katanya.

Tinggalkan komen anda