Kit Siang gesa PM jelaskan ujian saringan khas untuk menteri ke luar negara


shadow

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan ujian saringan khas yang dilakukan terhadap menteri, timbalan menteri dan pengawai tinggi kerajaan yang keluar negara dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Dalam satu kenyataan, Kit Siang juga menggesa Muhyiddin mendedahkan berapa ramai daripada mereka diberikan kebenaran untuk keluar negara dalam tempoh berkenaan.

“Memandangkan Perdana Menteri sendiri telah dinamakan sebagai individu yang memberikan kebenaran untuk lawatan ini, beliau tidak boleh berdiam diri dalam isu ini dan perlu menjelaskan perkara yang sebenarnya untuk mengelakkan kekeliruan”.

“Apakah bentuk ujian saringan khas ini?” katanya dalam kenyataan.

Kit Siang berkata demikian bagi mengulas isu membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali yang didakwa ingkar arahan kuarantin diri selama 14 hari setelah kembali daripada Turki.

Kit Siang berkata, Khairuddin memberikan alasan bahawa lawatan itu dibenarkan oleh perdana menteri dan Turki dikategorikan sebagai sebuah “negara zon hijau”.

Sehingga berita ini ditulis, Khairuddin belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, sebaliknya meminta orang ramai menunggu kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

Menurut Kit Siang, dia tertarik dengan dakwaan menteri berkenaan yang mengatakan Turki dikategorikan sebagai “negara zon hijau” dari segi penularan wabak Covid-19 sedangkan negara itu mencatatkan tiga kali ganda jumlah kes berbanding China.

“Turki kini berada di tempat ke-18 teratas di dunia dengan sejumlah 254,520 kes terkumpul dan 6,058 kematian akibat Covid-19 untuk perbandingan, China mencatatkan 84,895 kes dan 4,634 kematian.

“Memandangkan Turki mempunyai tiga kali ganda jumlah kes terkumpul berbanding China dan merekodkan lebih banyak kematian berbanding dengan negara China, adakah kabinet Malaysia ataupun Kementerian Kesihatan melihat Turki sebagai sebuah negara yang lebih selamat berbanding China dari segi penularan Covid-19?

“Ataupun, adakah dakwaan bahawa Turki merupakan “negara zon hijau” ini hanyalah angan-angan Menteri yang berkenaan?,” katanya.

Tinggalkan komen anda