MCMC gantung akaun BermanaTV


shadow

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun-akaun palsu di media
sosial yang berniat jahat.

Akaun palsu sengaja diwujudkan untuk melindungi identiti sebenar bagi tujuan menipu, menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan masyarakat, kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Berkaitan perkara yang sama MCMC telah mendapat kerjasama Twitter yang bertindak menggantung akaun BermanaTV (@Bermanadotcon) yang didapati melanggar Piawaian Komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform media sosial itu.

MCMC menghargai tindakan yang diambil oleh Twitter berdasarkan aduan yang dimajukan oleh MCMC.

Paparan-paparan di akaun tersebut sering mengelirukan masyarakat dengan berselindung di sebalik nama parodi yang seolah-olah dikaitkan dengan sebuah agensi berita nasional.

“Namun demikian, langkah penggantungan atau pemadaman akaun adalah bersifat reaktif dan sementara. Akaun-akaun sebegini berkemungkinan boleh diwujudkan semula dan orang ramai perlu berwaspada agar tidak mudah terpengaruh,” kata kenyataan yang sama.

Orang ramai, kata MCMC boleh memastikan kesahihan setiap maklumat dengan mengikuti saluran rasmi serta akaun media sosial yang mendapat lencana pengesahan biru atau kelabu daripada penyedia platform seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.

Lencana itu mengiktiraf bahawa sesuatu akaun media sosial berasal daripada organisasi serta individu yang telah disahkan.- MalaysiaGazette

Tinggalkan komen anda