Ku Nan dilepas tanpa dibebas kes rasuah RM1 juta


shadow

Bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuah bernilai RM1 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah itu semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Tertuduh tenang di kandang tertuduh ketika keputusan dibacakan.

Keputusan itu dikeluarkan pagi ini, berikutan penghujahan dari pihak pendakwaan dan pembelaan.X

DPP Julia Ibrahim telah memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan diarahkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk DNAA.

Jelasnya, ini susulan perkembangan baru dalam kes yang melibatkan salah seorang saksi.

Namun, peguam bela, Tan Hock Chuan telah membantah dan memohon agar anak guamnya dibebas dan dilepas.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan semula.

Ahli Parlimen Putrajaya yang berusia 69 tahun itu didakwa telah menerima wang tunai RM1 juta daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon.

Tan sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang didakwa melakukan kesalahan itu, dan didenda RM1.5 juta.

Tengku Adnan atau Ku Nan mempunyai kes rasuah lain bernilai RM2 juta yang belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan.

Perkara ini ditetapkan untuk keputusan di akhir pembelaan pada 21 Disember.

Tinggalkan komen anda