Tarikh peperiksaan tahun ini dijadual semula, kata kementerian


shadow

TARIKH peperiksaan pusat dan lain-lain peperiksaan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tahun ini dijadual semula berikutan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi mengekang penularan Covid-19.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penjadualan semula dibuat setelah meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum mata pelajaran itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Penjadualan semula itu melibatkan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya bermula 5 Oktober hingga 19 November, tetapi kini dipinda ke tarikh baharu iaitu 16 November hingga 7 Disember, 2020.

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pula mengikut tarikh asal yang dijadualkan iaitu bermula pada 28 September hingga 6 Oktober, namun terdapat perubahan subjek peperiksaan Bahasa Melayu ditetapkan pada 28 September dan Bahasa Inggeris pada 29 September.

Bagaimanapun, Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiada pindaan iaitu kekal pada tarikh asal 1, 2, 3, 7 dan 8 September menurut kenyataan itu. – Bernama

Tinggalkan komen anda