KKM minta 5,084 dari kluster Tabligh lakukan ujian Covid-19


shadow

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta 5,084 individu yang sebelum ini membuat ujian saringan dan didapati tiada tanda-tanda simptom Covid-19 untuk tampil melakukan ujian.

Dalam sidang media hari ini, beliau berkata kementerian bekerjasama dengan pihak polis untuk mencari mereka.

Kumpulan itu katanya terdiri daripada peserta Tabligh dan individu yang mempunyai kontak dengan mereka yang menghadiri ijtima Tabligh di Masjid Seri Petaling, akhir bulan lalu.

“Kita perlu mencari 5,084, mereka belum lagi diuji. Daripada kumpulan (kluster) Tabligh, (yang tidak diuji ialah 5,084 […]

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak polis untuk menggalakkan mereka datang ke klinik kita dan kemudian kita akan melakukan ujian untuk mereka,” katanya.

“Kami akan cuba mencari mereka dan diharapkan mereka akan tampil ke hadapan untuk melakukan ujian,” katanya.

Untuk rekod, 5,084 individu ini membuat ujian saringan hanya bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai simptom terhadap Ciovid-19.

Namun, kali ini mereka dipanggil semula untuk melakukan ujian bagi memastikan mereka bebas daripada penyakit berkenaan.

Ujian Covid-19 di hospital dan klinik awam adalah percuma.

Noor Hisham berkata kementerian sebelum ini membuat ujian saringan 17,584 orang termasuk peserta Tabligh atau rapat kenalan mereka yang menghadiri acara Tabligh di Seri Petaling.

Daripada jumlah itu, seramai 12,500 diuji untuk mengetahui sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Berdasarkan sampel ujian, seramai 1,207 didapati positif manakala 6,648 lagi didapati negatif. 

Manakala seramai 4,645 individu lagi sedang menunggu keputusan ujian mereka.

Tinggalkan komen anda