Pengajaran Sains, Matematik dalam Bahasa Inggeris, kata Dr Mahathir


shadow

MATA pelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam Bahasa Inggeris, kata Dr Mahathir Mohamad ketika menggariskan hala tuju dasar pendidikan pada taklimat kepada pegawai kanan Kementerian Pendidikan, semalam.

“Mata pelajaran Sains dan Matematik bukan bidang pengetahuan peribumi,” kata pemangku menteri pendidikan itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya.

“Mata pelajaran ini datang dari luar negara dan kebanyakannya datang kepada kita dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.”

Taklimat Dr Mahathir kepada pegawai Kementerian Pendidikan turut dimuat naik di halaman Facebook beliau.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak menyebut sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diadakan semula.

Ketika ini, mata pelajaran Sains dan Matematik di beberapa sekolah diajar dalam Bahasa Inggeris di bawah Program Dwibahasa (DLP).

PPSMI diperkenalkan pada 2002 semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat dan mendapat bantahan daripada penyokong sekolah vernakular, pendidik dan ibu bapa.

Objektif dasar tersebut adalah untuk menangani kemerosotan kemahiran murid dalam Bahasa Inggeris, terutamanya murid Melayu. PPSMI dimansuhkan pada 2008 semasa di bawah pentadbiran Najib Razak.

Dalam rakaman video mesyuarat bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan itu, Dr Mahathir yang lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris berkata murid yang belajar Sains dalam Bahasa Melayu menyebabkan mereka sukar mendapat kerja di syarikat yang mewajibkan Bahasa Inggeris.

“Kita mahu menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris dan penguasaannya dalam sistem pendidikan negara. Ini sangat penting. Kita perlu peruntukkan masa untuk belajar Bahasa Inggeris, khususnya pembelajaran Sains dan Matematik,” kata beliau.

Dr Mahathir yang memegang portfolio pendidikan pada 1970-an mengakui dasar beliau akan mencetus kontroversi.

“Sudah tentu, pandangan saya tidak selalu popular atau diterima oleh ramai orang. 

“Tetapi saya perlu mendesak perkara tertentu bagi memastikan anak-anak kita membesar dan mendapati diri mereka mampu mengatasi masalah kehidupan apabila dewasa. Itulah tujuan pendidikan.”

Dr Mahathir juga berkata pendidikan amat penting kepada pembangunan negara.

“Malah, kebanyakan pembangunan negara bergantung kepada hubungan kerja yang baik antara pelbagai kaum.

“Jika negara tidak stabil, jika kita berada dalam perang, kita boleh lupakan pembangunan. Semuanya akan tertumpu kepada bagaimana hendak membunuh antara satu sama lain dengan lebih cekap, dan pembunuh akan menang.” 

Tinggalkan komen anda