Kes 1MDB tangguh, Najib berkempen di Chini


shadow

PERBICARAAN kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap Najib Razak ditangguhkan 2 petang ini bagi membolehkan bekas perdana menteri berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Chini di Pahang, malam nanti.

Hakim Collin Lawrence Sequerah juga mengosongkan tarikh perbicaraan esok untuk membolehkan Najib berada di Chini untuk berkempen, menjelang pemilihan yang ditetapkan pada Sabtu, atas permohonan peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Sequerah sebelum itu turut membenarkan permohonan Shafee untuk menangguhkan perbicaraan kerana beliau mempunyai satu temujanji di Wisma Putra petang ini.

Shafee memberitahu mahkamah beliau dimaklumkan melalui WhatsApp malam tadi mengenai temujanji itu.

Najib adalah ahli Parlimen Pekan dan Chini merupakan salah satu DUN dalam kawasan Parlimen itu.

Pilihan raya kecil pada Sabtu ini adalah yang pertama ditetapkan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan sejak 18 Mac lalu. 

Tangguh sebab sidang Parlimen

Sequerah juga membenarkan permohonan untuk mengosongkan sementara tarikh perbicaraan antara 13 hingga 17 Julai, dengan alasan Najib perlu hadir di Parlimen untuk sidang Dewan Rakyat.

Katanya, Najib perlu hadir untuk berbahas atau mengundi dalam mesyuarat.

“Parlimen bukan macam mahkamah, Yang Arif. Disebabkan keadaannya yang dinamik, prosiding dari malam boleh bersambung,” kata Shafee.

Jelas beliau, pihaknya hanya boleh menentukan bila Najib diperlukan di Parlimen apabila masanya tiba kelak.

“Saya cenderung untuk meneruskan perbicaraan melainkan kehadiran anak guam anda diperlukan,” kata Sequerah.

Najib, 66, sedang dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa melibatkan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan mengubah wang haram. Beliau berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Najib ke Chini untuk berkempen bagi calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dari Umno yang menentang dua calon bebas iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Kerusi DUN Chini kosong pada 7 Mei lalu selepas wakil rakyatnya Abu Bakar Harun, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya umum dua tahun lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 mengalahkan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan calon Pakatan Harapan Mohd Razali Ithnain daripada Bersatu.

PAS dan Bersatu tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini dan memberi laluan kepada Umno dan BN.

Tinggalkan komen anda