Tunggakan gaji MU selesai Ogos


shadow
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh. – Foto Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Kemelut tunggakan gaji didakwa membelenggu pemain bola sepak Melaka United (MU) sejak Aidilfitri lalu berjumlah hampir RM3 juta dijangka diselesaikan selewet-lewatnya Ogos depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Adly Zahari, berkata persatuan itu memberi jaminan akan membayar sebulan tunggakan gaji kepada pemain hujung bulan ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka mengakui ada sedikit masalah kerana penaja belum menyelesaikan komitmen tajaan sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain tertunggak.

Katanya, MUSA akan akan menyelesaikan isu dengan penaja dan menyelesaikan tunggakan gaji dalam tempoh ditetapkan.

“Sebenarnya kalau mengikut kepada komitmen penaja cukup untuk kita membayar gaji, sekali gus tidak berbangkit isu (tunggakan gaji).

“Namun, komitmen tidak dipenuhi selain ada sebagian komitmen tak buat pembayaran menyebabkan berlaku tunggakan gaji. Kita akan pastikan mereka memberikan komitmen untuk selesaikan isu gaji,” katanya ketika di temui di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan isu tunggakan gaji itu mengganggu prestasi pemain hingga mengakibatkan MU kecundang kepada Pahang 1-4, Adly berkata isu gaji bukan penyebab utama kekalahan teruk skuad Hang Tuah memandangkan pemain berdepan beberapa masalah kecederaan hingga menjejaskan prestasi pasukan.

Adly berkata, sekali pun MU gagal mencapai sasaran lima kedudukan terbaik di carta liga, pihaknya tetap berpuas hati kerana berjaya memperbaiki kedudukan Liga Super pada musim lalu.

Untuk rekod, skuad Hang Tuah menamatkan saingan di tangga keenam Liga Super 2019, selepas berada di tangga ketujuh musim lalu.

BH Sukan Sabtu lalu melaporkan kantung pasukan Liga Super dan Liga Perdana terisi apabila memperoleh bayaran hak penyiaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, masih ada yang berduka dan pemain MU dikatakan belum menerima apa-apa bayaran gaji sejak Aidifitri lalu.

Menurut sumber, setakat ini pemain dimaklumkan pihak pengurusan sedang mencari dana namun belum menerima sebarang bayaran.

Tinggalkan komen anda