Tottenham cuba dapatkan Dybala


shadow
PENYERANG Juventus, Paulo Dybala.

LONDON: Tottenham sudah menghubungi Juventus dengan tindakan berani cuba mendapatkan penyerang, Paulo Dybala dengan nilai  £80 juta pound (RM411.03 juta).

Dalam perkembangan terbaru yang mengejutkan itu, naib juara Liga Juara-Juara itu dilihat bersedia berbelanja besar untuk memenuhi kemahuan penonton serta memenangi lebih banyak gelaran.

Pegawai Spurs sudah melakukan perbincangan dengan rakan kerja di Turin mengenai penyerang berumur 25 tahun itu dan bersedia membuat rekod perpindahan terbaru bagi membawanya ke utara London.

Dybala, pemain Argentina digelar sebagai antara penyerang terbaik dunia diharap dapat menguatkan lagi skuad kendalian Mauricio Pochettino.

Ketibaan Cristiano Ronaldo di Juventus memberi kesan kepada pemain itu apabila sekadar menjaringkan 10 gol musim lalu dan pemain itu bersedia untuk tawaran perpindahan.

Jika perpindahan itu berjaya – akan memecahkan rekod perpindahan £65 juta pound (RM333.96 juta) ketika mendapatkan pemain Lyon, Tanguy Ndombele pada awal bulan ini – biarpun dianggap terlalu tinggi, Spurs serius dengan kemungkinan membawa Dybala bergandingan dengan Harry Kane.

Perbincangan mendapatkan pemain itu dilaporkan dibuat sebulan lalu dan peratusan peluang masih belum diketahui memandangkan pengerusi Spurs, Daniel Levy menyerahkan kepada pengurusnya – biarpun Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) turut dikatakan menunjukkan minat.

Pada Februari tahun lalu, Pochettino menggambarkan Dybala mempunyai “bakat istimewa”.

“Melihatnya di atas padang adalah mengagumkan, biarpun jika dia mungkin menimbulkan beberapa masalah,” katanya. – Agensi 

Tinggalkan komen anda