Chelsea mulai faham – Lampard


shadow
Reaksi jurulatih baharu Chelsea, Frank Lampard sejurus tamat perlawanan menentang Barcelona dalam perlawanan persahabatan pra-musim, di Stadium Saitama, Jepun semalam. – Foto REUTERS

SAITAMA, Jepun: Jurulatih baharu Chelsea, Frank Lampard percaya mesejnya sudah mula difahami pemain susulan kemenangan 2-1 ke atas Barcelona dalam aksi persahabatan pra-musim, semalam.

Lampard yang juga penjaring terbanyak Chelsea kembali ke Stamford Bridge sebagai pengurus pada 4 Julai lalu berkata kemenangan itu turut membuktikan kerja keras staf kejurulatihan dan pemain ketika latihan sudah mula menunjukkan hasil.

“Ia bagus di dalam dan juga di luar padang,” kata Lampard selepas kemenangan terhadap juara Sepanyol itu. “Terutama pada hari ini, saya melihat banyak petanda daripada kerja keras yang kami lakukan, dan ia amat bagus untuk saya.

“Masih banyak kerja yang perlu dibuat tetapi setakat ini ia kunjungan yang baik.”

Chelsea jelas beraksi lebih baik berbanding ketika tewas 0-1 kepada juara Jepun, Kawasaki Frontale, Jumaat lalu dengan penyerang muda, Tammy Abraham dan Ross Barkley meletakkan nama selaku penjaring.

Jaringan tunggal Barca disumbangkan pemain tengah, Ivan Rakitic pada masa kecederaan.

Pemain Chelsea, Tammy Abraham melepasi halangan penjaga gol Barcelona lalu menjaringkan gol pertama pasukannya. – Foto REUTERS


Lampard turut menyenaraikan dua penyerangnya, Olivier Giroud dan Michy Batshuayi pada babak kedua dan mengakui gembira dengan pilihan pemainnya di barisan depan bagi mengharungi musim ini.

“Tiada persaingan,” katanya. “Orang sentiasa bercakap mengenainya tetapi mereka semua perlu meningkat dan menunjukkan mereka boleh menjadi penyerang untuk Chelsea. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap mereka.”

Lampard terpaksa menggunakan segala pilihan yang ada berikutan penggantungan pembelian pemain yang sedang dihadapi Chelsea ketika ini.

Begitupun, mereka berjaya menguatkan pasukan dengan kehadiran pemain tengah Croatia, Mateo Kovacic yang melengkapkan perpindahannya selepas dipinjamkan Real Madrid musim lalu. – Reuters

Tinggalkan komen anda