Forlan umum gantung but


shadow

LONDON: Bekas penyerang bintang Manchester United dan Uruguay, Diego Forlan mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak profesional, hari ini.

Kali terakhir Forlan, 40, beraksi adalah bersama kelab Hong Kong, Kitchee United pada Mei tahun lalu.

Selain United, Forlan pernah menyarung jersi beberapa kelab terkemuka Eropah antaranya Inter Milan, Villarreal dan naib juara La Liga musim lalu, Atletico Madrid.

“Ia tidak mudah, saya tidak mahu masa ini tiba, tetapi saya tahu ia akan datang,” kata Forlan. “Saya sudah memutuskan untuk berhenti bermain secara profesional.”

Forlan memulakan karier profesional bersama kelab Argentina, Independiente sebelum berpindah ke United pada Januari 2002. 

Di Old Trafford, dia memenangi Liga Perdana pada musim 2002-03 dan Piala FA pada musim berikutnya sebelum menyertai Villarreal pada 2004. 

Di La Liga, Forlan menikmati kejayaan apabila meledak 128 gol dalam 240 penampilan bersama Villarreal dan Atletico dan membantu kelab itu menjulang trofi Liga Europa pada kempen 2009-10. 

Musim terbaiknya adalah ketika bersama Atletico pada musim 2008-09 apabila dia meledak 32 gol dalam 33 penampilan bersama kelab dan menewaskan bintang seperti Sameul Eto’o (Barcelona) dan David Villa (Valencia) selaku penjaring terbanyak liga.

Selain Inter di Serie A, Forlan turut beraksi bersama kelab Cerezo Osaka, Penarol, Mumbai City dan Kitchee sebelum menggantung but.

Forlan juga akan diingati sebagai salah seorang pemain Uruguay terhebat dan sudah menjaringkan 36 dalam 112 penampilan bersama skuad kebangsaan serta membantu kelab itu memenangi Copa America pada 2011 selain memenangi anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2010.

Bekas rakan sepasukan Forlan di skuad kebangsaan, Luis Suarez memberikan penghormatan kepada rakan yang dilabel legenda itu.

“Pemain Uruguay yang bersejarah. Bersyukur untuk semua pengalaman yang tidak dapat dilupakan terhadap apa yang anda lakukan kepada semua warga Uruguay, baik bersama pasukan kebangsaan dan kepada semua pasukan yang anda sertai, “kata bintang Barcelona di Twitter.

“Saya akan sentiasa berterima kasih atas apa yang sudah anda ajarkan kepada saya, sama ada di dalam dan di luar padang, satu impian untuk bermain dengan salah seorang daripada idola saya. Anda akan sentiasa menjadi legenda di Uruguay. ” – Agensi

Tinggalkan komen anda