Pasukan ‘Secret Service’ Amerika Syarikat (AS) yang bertanggungjawab menjaga Donald Trump dan Presiden yang baharu dipilih, Joe Biden serta Rumah Putih ‘diserang’ dengan jangkitan COVID-19.
Media AS, Washington Post pada Jumaat melaporkan, lebih 130 ejen ‘Secret Service’ dijangkiti COVID-19 termasuk perlu menjalani kuarantin kerana mempunyai kontak dengan pesakit wabak itu.
Jangkitan itu dilaporkan berlaku selepas sekumpulan ejen menyertai kempen bersama Trump di mana ramai pegawai dan kebanyakan mereka yang hadir tidak memakai pelitup muka.
Mereka juga dilaporkan turut serta dalam beberapa acara di Rumah Putih sejak tiga minggu lalu yang dipimpin oleh Trump termasuk parti pilihan raya pada 3 November lalu dengan kebanyakan tetamu tidak memakai pelitup muka.
Susulan itu, beberapa pegawai dilaporkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian termasuk Ketua Turus Rumah Putih, Mark Meadows.
Menurut laporan New York Times, sekurang-kurangnya 30 pegawai beruniform ‘Secret Service’ positif dalam tempoh beberapa minggu ini, manakala kira-kira 60 lagi diminta menjalani kuarantin.
Penularan COVID-19 dalam kalangan anggota perkhidmatan itu adalah insiden terbaharu daripada beberapa gelombang jangkitan membabitkan pasukan berkenaan sejak pandemik berkenaan melanda AS.
Sebelum ini, sebahagian ejen ‘Secret Service’ dipaksa untuk menjalani kuarantin kendiri selepas perhimpunan Trump di Tulsa, Oklahoma pada Jun.
Perkara sama turut berulang pada Julai melalui sesi ucapan kepada petugas syerif di Tampa, Florida yang mengakibatkan mereka turut positif COVID-19.
Penularan juga dilaporkan berlaku di akademi latihan perkhidmatan itu di Maryland.
Pasukan ‘Secret Service’ mempunyai kira-kira 7,000 kakitangan termasuk ejen beruniform yang mengawal Rumah Putih dan acara membabitkan presiden serta apa yang sering dilihat orang awam iaitu pengawal keselamatan lengkap bersut yang sentiasa dekat dengan presiden.
Barisan kepemimpinan pentadbiran AS yang baharu iaitu Biden dan naib presidennya berikrar untuk mengambil tanggungjawab dalam perkara ini.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung laporan itu, jurucakap ‘Secret Service’, Julie McMurray, berkata pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang maklumat terperinci mengenai jangkitan COVID-19 ini atas alasan menjaga kerahsiaan serta operasi keselamatan.
“Kesihatan dan keselamatan tenaga kerja kami adalah yang paling utama serta penting.
“Kami akan terus menilai keperluan penting untuk beroperasi sepanjang pandemik ini dan memastikan kekal bersedia dan kekal mencukupi untuk melaksanakan misi kritikal membabitkan perlindungan dan penyiasatan secara bersepadu yang tidak akan terjejas disebabkan COVID-19 ini, ” katanya. – AFP
Tinggalkan komen anda