COVID-19 : Warga Singapura pulang dari luar negara perlu SHN di hotel


shadow

SINGAPURA – Semua warga Singapura, penduduk tetap serta pemegang pas jangka panjang yang kembali dari negara ASEAN, Perancis, India dan Switzerland, perlu mengasingkan diri selama 14 hari di kemudahan khusus Notis Duduk Di Rumah (SHN) di hotel setempat.

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan peraturan baharu itu akan berkuasa kuasa jam 11.59 malam ini.

Sebelum ini, katanya, langkah berkenaan hanya dilaksanakan terhadap mereka yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) serta United Kingdom (UK), dan ia akan diteruskan.

MOH menjelaskan, semua negara terbabit dipilih berdasarkan penilaian risiko dan sejarah kes diimport di Singapura.

“Syarat meningkatkan notis SHN itu bertujuan melindungi warga Singapura dan membendung risiko penularan virus dalam komuniti daripada kes import,” menurut kementerian itu.

Menurut MOH, mereka yang pulang dari negara lain pula perlu menjalani SHN 14 hari di rumah masing-masing.

“Kemudahan SHN bukan saja mengenai peruntukan bilik hotel tetapi MOH juga perlu bekerjasama dengan pengusaha hotel untuk melatih staf, melaksanakan peraturan keselamatan dan kawalan jangkitan serta langkah berjaga-jaga.

“Ia mengambil masa untuk menyiapkan kemudahan seperti ini, selain tidak mempunyai kemudahan mencukupi bagi menampung semua yang pulang. Oleh itu berdasarkan kapasiti sedia ada, kami mengutamakan mereka yang pulang dari negara khusus terbabit,” katanya.

MOH berkata, pasukan petugas COVID-19 terdiri daripada pelbagai kementerian, akan terus memantau perkembangan semasa penularan virus itu dan bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi menyesuaikan kapasiti kemudahan SHN mengikut keperluan.

SUMBER – BERNAMA

Tinggalkan komen anda