LILLE – Seorang doktor di Perancis yang mendakwa dirinya dijangkiti coronavirus dan batuk ke arah polis dipenjara dua tahun.
Kejadian itu berlaku apabila polis mengunjungi rumah doktor berkenaan untuk menyiasat aduan mengenai keganasan rumah tangga.
Menurut sumber polis, doktor berusia 66 tahun dari sebuah hospital di Lille, utara Perancis itu ditahan Sabtu lalu.
Isterinya berkata, suaminya kini cuti sakit kerana disyaki dijangkiti COVID-19.
Pihak pendakwa di Lille berkata, pegawai yang menahan doktor itu membekalkan topeng muka dan sarung tangan tetapi dia menanggalkannya dan batuk ke arah polis di dalam kereta peronda.
“Dia mendakwa dijangkiti COVID-19 dan kini semua yang berada dalam kereta akan dijangkiti virus itu.
“Dia batuk secara agresif dan menyedari bahawa dakwaannya menakutkan anggota polis,” katanya.
Sehubungan itu, selain dakwaan keganasasan rumah tangga, dokor terbabit turut didakwa bertindak ganas terhadap penjawat awam ketika menjalankan tugas.
Doktor berkenaan dihadapkan ke mahkamah di Lille Isnin lalu dan dijatuhkan hukuman penjara.
Dia ditahan dan dilarang menghubungi isterinya.
Pegawai polis yang berada dalam kereta peronda bersama doktor berkenaan kini diletak di bawah pemantauan perubatan.
Minggu lalu, seorang lelaki Ireland Utara didakwa atas tuduhan cuba melakukan serangan fizikal yang serius selepas batuk ke arah pegawai polis.
Dia, yang turut mendakwa dijangkiti coronavirus itu, melakukan perbuatan itu ketika hendak ditahan atas tuduhan keganasan rumah tangga.
Sementara itu di Belgium, kesalahan meludah atau batuk ke arah pegawai polis kini membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, berdasarkan undang-undang yang baharu dikemas kini.
SUMBER – AFP
Tinggalkan komen anda