COVID-19 : Menteri New Zealand letak jawatan langgar PKP


shadow

WELLINGTON – Seorang menteri di New Zealand menawar diri untuk meletak jawatan setelah mengaku melanggar perintah kawalan pergerakan ketika ia dikuatkuasakan di negara itu.

Menteri Kesihatan, Dr David Clark berkata demikian pada Selasa selepas mendedahkan beliau melakukan perjalanan sejauh 20 kilometer ke pantai bersama keluarganya.

Dr Clark mengaku perjalanan itu satu pelanggaran peraturan yang jelas di mana ahli keluarga perlu berada di dalam rumah.

Menyifatkan dirinya sebagai “bodoh” dengan tindakan itu, Clark mengaku sebagai Menteri Kesihatan, beliau sewajarnya menjadi contoh kepada seluruh warga New Zealand.”Pada ketika kami meminta New Zealand untuk membuat pengorbanan, saya telah mengecewakan mereka.

“Saya bodoh dan saya faham mengapa orang akan marah dengan saya,” katanya dalam satu kenyataan.Sementara itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata dalam keadaan biasa, beliau akan memecat Dr Clark.

Namun, beliau memilih untuk menurunkan pangkat Dr Clark ke tahap terendah dalam ranking Kabinet dan menarik balik portfolio Kewangan Bersekutunya.

“Apa yang dilakukannya adalah salah, dan ia bukan alasan,” katanya.

“Tetapi, sekarang, keutamaan saya adalah perjuangan kita terhadap COVID-19.

“Kita tidak boleh ada gangguan besar dalam sektor kesihatan atau dari segi tindak balas kita.

“Atas sebab itu, dan sebab itu semata-mata, Dr Clark akan mengekalkan peranannya,” kata Ardern.

SUMBER : AWANI/AGENSI

Tinggalkan komen anda