COVID-19 : Jangan keluar rumah, perintah berkurung tiga minggu – Boris Johnson


shadow

LONDON: Britain arahkan perintah berkurung tiga minggu dalam usaha membendung penularan COVID-19 yang semakin meningkat di serata dunia.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, turut mengarahkan penutupan semua premis menjual barangan yang bukan kepentingan dan melarang perhimpunan lebih daripada dua orang.

“Jangan keluar rumah,” katanya menerusi perutusan televisyen, ketika angka kematian di Britain meningkat kepada 335 orang.

Banyak negara sudah mengambil langkah sama seperti Britain berikutan kematian akibat COVID-19 sudah melebihi 16,500 orang dan 378,000 orang disahkan dijangkiti.

Angka kematian di New York menghampiri 100, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan virus itu di bandar terbesar Amerika Syarikat (AS) dihuni 8.4 juta orang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, merayu gencatan senjata diisytiharkan di zon konflik di serata dunia manakala China dan Perancis mahu negara G20 turut membantu menangani krisis itu.

Di Eropah, yang kini menjadi pusat pandemik coronavirus itu, lebih 10,000 orang terkorban dengan angka tertinggi dicatatkan di Itali (601 kematian), Sepanyol (462 kematian) dan perancis (186 kematian) dalam tempoh 24 jam.

Itali, yang kini mencatatkan 6,077 kematian, sudah melampaui angka kematian di China di mana COVID-19 mula dikesan, tetapi kadar kematian harian berkurangtan semalam, menunjukkan mungkin berlaku perkembangan positif.

Kes jangkitan baharu di Itali berkurangan 6,557 kes Sabtu lalu kepada 4,789 kes semalam.

Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 573 kematian termasuk 98 di New York yang menjadi pusat jangkitan di negara itu.

Sekurang-kurangnya 1.7 bilion penduduk dunia kini diminta jangan keluar rumah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung.

Sepanyol melanjutkan tempoh darurat sehingga 11 April berikutan peningkatan mendadak kadar kematian kepada 2,182 iaitu jumlah ketiga tertinggi di dunia selepas Itali dan China.

Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, berkata pihaknya sedia mengagihkan kesemua AS$1 trilion (RM4.4 trilion) keupayaan kewangannya semaas krisis COVID-19.

Beliau juga memberi amaran bahawa kemerosotan ekonomi global yang berlaku mungkin menyamai keadaan ketika krisis kewangan global sebelum ini.

SUMBER – BERITA HARIAN

Tinggalkan komen anda