India mengikuti langkah Britain dengan melaksanakan perintah berkurung selama 21 hari, bermula tengah malam Selasa, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini mencecah 500 orang.
Perdana Menteri Narendra Modi dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen tempatan berkata, langkah pencegahan dilakukan lebih ketat untuk menyekat penularan wabak itu.
“Apabila negara kaya dilihat sukar untuk menangani wabak itu, India perlu mengambil langkah serius memerangi ancaman untuk menghindari bencana yang lebih besar.
“Saya menyeru rakyat tidak membuat pembelian panik dan tinggal di dalam rumah, berjanji kerajaan persekutuan dan negeri akan memastikan semua barangan keperluan mencukupi,” katanya.
Menurutnya, sektor penting seperti penjagaan kesihatan, kemudahan awam, pengeluaran dan pengedaran barangan penting, media, bank, telekomunikasi dan perkhidmatan pengangkutan asas dikecualikan daripada perintah “lockdown”
“Buat masa sekarang, penjarakan sosial justeru semua perhimpunan awam dan keagamaan dilarang. Selain itu, penerbangan antarabangsa dan domestik serta perkhidmatan hospitaliti turut digantung,” ujarnya.
Semalam, Britain turut melaksanakan perintah berkurung selama tiga minggu bagi membendung penularan COVID-19.
Tinggalkan komen anda