Wabak koronavirus: Korea Selatan kesan kes pertama


shadow

SEOUL: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (KCDC), Korea Selatan, mengesahkan kes pertama koronavirus baharu dikesan di negara ini selepas wabak itu tercetus di China.

Pesakit terbabit adalah seorang wanita China berusia 35 tahun yang menaiki pesawat dari Wuhan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada Ahad lalu.

Menurut KCDC dalam satu kenyataan, wanita yang merupakan penduduk Wuhan itu diasingkan sebaik saja tiba kerana mempunyai simptom, termasuk demam panas.

“Pesakit berkenaan dikenal pasti pada peringkat kuarantin dan tiada pendedahan terhadap masyarakat. Mereka yang ada kontak dengan pesakit itu, termasuk penumpang dan kru pesawat, sedang disiasat,” katanya tanpa memberikan maklumat terperinci mengenai penerbangan wanita terbabit.

KCDC berkata, pesakit itu memaklumkan kepada pihak berkuasa Korea Selatan bahawa dia mengalami simptom seperti demam, menggigil serta sakit otot pada Sabtu dan mendapat preskripsi selesema di sebuah hospital di Wuhan.

Susulan itu, KCDC menaikkan tahap amaran daripada ‘perhatian’ kepada ‘waspada’ dan akan meningkatkan pemantauan.

Pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan sistem kuarantin kecemasan sepanjang masa, termasuk ketika cuti Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba. – REUTERS

Tinggalkan komen anda