NAYPYIDAW: Facebook meminta maaf kerana tersilap menterjemah nama Presiden China, Xi Jinping, ke bahasa Myanmar sempena lawatan dua hari beliau ke negara itu.
Lawatan pertama mana-mana pemimpin tertinggi China sejak dua dekad lalu ke negara itu dicemari kesilapan yang menyebabkan terjemah nama Jinping daripada bahasa Myanmar ke Inggeris sebagai ‘Mr Shithole.’
Kesilapan dalam paparan di Facebook Myanmar itu tersebar luas di negara itu termasuk laman rasmi pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi.
Antara lain, termasuk nota makluman ‘Mr Shithole, Presiden China tiba jam 4 PM’ dan ‘Presiden China, Mr. Shithole, menandatangani buku rekod tetamu di Rumah Perwakilan’.
Facebook memohon maaf dan menyifatkannya sebagai masalah teknikal yang menyebabkan terjemahan daripada bahasa Myammar ke Inggeris tersilap.
Syarikat itu menjelaskan, nama Jinping tidak terdapat dalam pangkalan data terjemahan bahasa Myanmar, menyebabkan sistem sedia ada membuat andaian dan menggantikannya dengan perkataan yang hampir sama ejaannya.
Pemeriksaan Facebook mendapati perkataan bahasa Myanmar yang mirip kepada ‘xi’ adalah ‘shi’ dalam bahasa negara itu, yang sama ejaannya dengan terjemahan ‘shithole’.
Di Myanmar, Facebook adalah laman sesawang paling popular bagi berita, hiburan dan perhubungan selain turut digunakan ahli politik serta agensi kerajaan bagi mengeluarkan kenyataan rasmi atau pengumuman.
Facebook, yang mempunyai lebih dua bilion pengguna di serata dunia, diharamkan di China. – AFP
Tinggalkan komen anda