SYDNEY: Kebakaran hutan di Australia mungkin berlarutan lebih lama meskipun cuaca semakin sejuk minggu ini, kata pihak berkuasa di Victoria.
Melbourne masih diselimuti asap berbahaya manakala sekurang-kurangnya 180 tompokan terus terbakar merentasi Victoria dan New South Wales (NSW) walaupun hujan diramalkan di kawasan berkenaan.
Kira-kira 20 kebakaran belukar belum dapat ditangani di NSW, negeri berpenduduk paling ramai di Australia manakala di Victoria, lima kebakaran diletakkan dalam kategori ‘Lihat dan Bertindak’, hanya satu takuk di bawah kategori ‘kecemasan’.
Menteri Perkhidmatan Kecemasan dan Polis, Lisa Neville, berkata beliau berharap semuanya dapat diselesaikan, namun hakikatnya perjalanan masih jauh untuk memadamkan kebakaran.
Ketua Pegawai Kesihatan Melbourne, Brett Sutton, berkata bandar kedua terbesar di Australia itu bertukar menjadi bandar ‘paling teruk di dunia’ dalam tempoh semalaman dengan cuaca sejuk menyebabkan lebih banyak abu serta debu berterbangan.
Australia menghadapi kebakaran hutan terburuk dalam sejarah negara itu, di mana kebakaran bermula September lalu itu sudah mengorbankan 28 orang setakat ini selain memusnahkan lebih 2,500 rumah. – Reuters
Tinggalkan komen anda