Peminat obses serang bintang pop Jepun secara seksual


shadow

TOKYO : Seorang lelaki yang obses menyerang bintang pop Jepun secara seksual selepas bertindak mengekori mangsa berdasarkan swafoto yang dimuat naik di internet.

Suspek, dikenali sebagai Hibiki Sato berkata, dia menemui mangsa selepas mengenal pasti stesen kereta api berpandukan biasan dari swafoto diambil bintang berkenaan.

Sato, 26 kemudian menunggu mangsa di stesen terbabit sehingga beliau muncul dan mengekorinya sehingga ke rumah pada 1 September lalu.

Dia mencabul mangsa di hadapan pintu rumah selepas menghampiri wanita berkenaan dari belakang, menutup mulutnya dengan kain dan mengheret penyanyi itu ke satu sudut gelap.

Semua kejadian itu diceritakan kepada polis selepas ditahan Selasa lalu dan dia turut mengaku amat meminati bintang berusia 21 tahun berkenaan.

“Suspek berkata, dia mengkaji secara terperinci segala butiran mangsa, termasuk kedudukan langsir dan arah cahaya yang menembusi tingkap, bagi memastikan bangunan sebenar didiami penyanyi itu.

Profesor Universiti Metropolitan Tokyo dan pakar hendap digital, Shuichiro Hoshi berkata, kualiti kamera telefon pintar yang ditambah baik meletakkan pengguna media sosial dalam risiko.

“Risiko pengendap digital semakin meningkat,” katanya.

Ini bukan kali pertama bintang pop wanita Jepun diserang oleh peminat fanatik.

Pada 2016, bintang pop Mayu Tomita bertarung dengan nyawa selepas ditikam lebih 20 kali oleh seorang peminat yang hilang sabar selepas mangsa bertindak memulangkan semula jam tangan diberikan.

Penyanyi berusia 20 tahun itu sedang bersiap sedia untuk naik ke pentas di sebuah konsert di Kpganei apabila diserang Tomohiro Iwazaki pada Mei 2016. – Agensi

Tinggalkan komen anda