AirAsia Group raih pendapatan lebih tinggi


shadow

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd mencatatkan pendapatan penerbangan RM3.0 bilion pada suku kedua 2019, meningkat 17 peratus berbanding RM2.6 bilion pada suku sama 2018, disokong oleh peningkatan 18 peratus jumlah penumpang kepada 12.8 juta.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilainya (EBITDA) pula berjumlah RM473 juta pada suku kedua 2019, lebih rendah sembilan peratus, sementara EBITDA bukan penerbangan melonjak 147 peratus kepada RM36 juta, dipacu prestasi perniagaan logistik Teleport.ADVERTISING

Pendapatan Teleport meningkat kepada RM112 juta, sementara airasia.com mencatatkan EBITDA positif pada suku kedua 2019.

Untung bersih berjumlah RM46.8 juta dicatatkan pada suku kedua 2019, jatuh 85 peratus, kata AirAsia Group dalam satu kenyataan.

Pendapatan tempat duduk kilometer tersedia (RASK) kumpulan penerbangan itu meningkat empat peratus kepada 15.40 sen pada suku kedua 2019, dipacu oleh permintaan yang kukuh dengan faktor muatan kekal kukuh pada 85 peratus meskipun peningkatan ketara 17 peratus dalam tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK).

AirAsia terus menguasai pasaran Malaysia dengan penguasaan pasaran domestik dan antarabangsa masing-masing meningkat lima mata peratusan kepada 62 peratus dan 50 peratus.

Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Presiden (Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam, berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu terus mengembangkan pengaruhnya merentas rantau pada suku kedua 2019, menarik penguasaan pasaran daripada pesaing dalam kebanyakan pasaran dihadirinya.

Walaupun kapasiti berkembang sebanyak 19 peratus, beliau berkata, faktor muatan kekal kukuh pada 85 peratus, sekali gus menunjukkan peningkatan selera bagi perjalanan udara merentas pasaran yang ia beroperasi.

“Dari sudut keuntungan, kami teruja untuk melihat pemulihan AirAsia Indonesia dan kemajuan prestasi AirAsia Philippines. Pada suku kedua 2019, AirAsia Indonesia kembali untung, sekali gus menunjukkan keputusan operasi yang kukuh, termasuk 58 peratus peningkatan dalam jumlah penumpang, peningkatan enam peratus dalam RASK dan 16 peratus kejatuhan dalam CASK.

“Bagi AirAsia Philippines, untung selepas cukai pada suku kedua meningkat lebih lapan kali ganda berikutan peningkatan empat mata peratusan dalam faktor muatan kepada 91 peratus, peningkatan 22 peratus dalam jumlah penumpang dan meningkat lima peratus dalam RASK,” katanya.

Tinggalkan komen anda