Kane puji Ndombele



LONDON: Harry Kane menyifatkan pembelian baharu, Tanguy Ndombele sebagai jawapan terhadap pemburuan Tottenham memenangi Liga Perdana.

Pemain antarabangsa Perancis itu menyertai Spurs dari Lyon, awal bulan ini dengan perjanjian memecah rekod kelab, £63 juta (RM323.25 juta) sekali gus mengatasi £42 juta (RM215.50 juta) ketika mendapatkan pertahanan Colombia, Davinson Sanchez dari Ajax pada Ogos 2017.

Ndombele membuat penampilan sulungnya ketika pertemuan dengan Juventus dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa di Singapura dan pantas mencetus impak.

Kurang 60 saat kehadirannya di atas padang, Ndombele mencipta umpanan kepada Lucas Moura untuk menjadikan kedudukan 2-2 sebelum Kane meledak gol menakjubkan pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan Spurs.

Kane yang juga kapten England jelas kagum dengan persembahan Ndombele dan percaya kehadirannya di kelab itu akan membantu pasukan mencabar kelab seperti Liverpool dan Manchester City dalam perebutan kejuaraan.

“Dia bermain dengan hebat. Dia memintas bola itu dengan amat baik dan menghantarnya kepada Lucas. Ia kekuatannya, melakukan hantaran yang berkualiti kepada penyerang,” kata Kane.

“Ia adalah sesuatu yang kami tidak miliki sejak beberapa tahun lalu, hantaran yang benar-benar berkualiti di hujung padang. Dia nampak seperti mampu melakukannya. 

“Seperti mana-mana pemain yang baru tiba, dia masih belajar bagaimana corak permainan kami dan cara yang pengurus mahu dia mainkan. Tetapi dia bekerja keras. Itu yang kami amat harapkan.”

Selain memecahkan rekod pembelian kelab, Ndombele adalah pembelian pertama Tottenham sejak Januari 2018 apabila Moura menyertai kelab itu dari Paris Saint-Germain. – Agensi

Tinggalkan komen anda