‘Jadikan krisis Perak peluang untuk pembangkang kembali bersatu’


shadow

Naib Ketua Pemuda DAP Mohd Shakir Ameer menggesa parti-parti pembangkang untuk menjadikan krisis di Perak sebagai peluang untuk kembali membincangkan hala tuju, antaranya bagi melawan Belanjawan 2021 serta pilihan raya akan datang.

Shakir berkata, para pemimpin pembangkang harus membuang perselisihan semasa sendiri untuk mencapai persefahaman politik demi meneruskan agenda reformasi pentabdiran yang telah dimulakan semasa pentabdiran PH.

Dia menyokong seruan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin agar pihak pembangkang kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan syarat untuk kerjasama baru selepas beberapa kali gagal menolak Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

“Seruan Pemuda Amanah untuk membina momentum baru serta meminta parti pembangkang untuk berunding harus disambut oleh semua pihak yang ingin mengembalikan mandat rakyat.

“Usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak yang diusulkan oleh Umno dan ditolak sehingga Menteri Besar daripada Bersatu terpaksa berundur hanya menunjukkan keretakan Perikatan Nasional (PN) menjadi semakin teruk,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas perkara itu, dia berkata belum pernah ada keadaan di mana parti mencadangkan usul percaya terhadap Menteri Besar di DUN hanya untuk mengundi menentang usul tersebut.

Dalam kenyataannya pada 3 Dis lalu, Shazni berkata pembangkang dilihat tidak bersatu dalam pendirian berkenaan belanjawan.

Bagaimanapun, dia optimis pembangkang akan dapat membina momentum dan kekuatan baru dalam berdepan PN.

Shakir berkata lagi, kerajaan PN yang kononnya dibina atas perpaduan ummah gagal mencapai persefahaman kerana sikap tamak haloba parti-parti yang membentuknya.

“Beberapa isu pentadbiran Kerajaan PN baru-baru ini di peringkat negeri atau Persekutuan menunjukkan mereka hanya berminat untuk memegang kuasa dan tidak mempedulikan isu-isu rakyat.

“Maka, majoriti akar umbi dan penyokong PH menyeru pembangkang yang diterajui oleh Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, pemimpin Pejuang Dr Mahathir, Presiden Warisan Shafie Apdal, Parti Sarawak Bersatu, Muda dan Upko untuk bersama mengambil peluang akan keretakan dan kegagalan pentadbiran PN untuk berunding dan membincangkan hala tuju, dengan mencari jalan melawan belanjawan 2021 dan sekaligus mengembalikan mandat rakyat.

“Adalah penting juga untuk pembangkang mula berunding untuk jalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN Sarawak dan juga PRU15,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda