Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik mengucapkan terima kasih kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini memberi kepercayaan kepadanya menjawat tugas menteri pendidikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Maszlee berkata, walaupun terdapat beberapa perkara yang beliau tidak bersetuju dalam isu membabitkan politik, namun ia tidak pernah mengurangkan rasa hormat dan kagumnya kepada negarawan itu, yang sudah banyak berjasa kepada bangsa dan negara.
“Insan ini berpesan mengingatkan saya bahawa politik ialah kerja membangun bangsa dan negara. Beliau juga ada beritahu, realiti politik berbeza dengan segala teori yang saya ajarkan dan tuliskan lewat kehidupan akademik dahulu.
“Saya berterima kasih kepada Mahathir kerana melantik saya sebagai menteri pendidikan walaupun dalam tempoh cuma 20 bulan, sebelum Mahathir meminta saya memulangkannya semula pada 3 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Maszle mengumumkan keluar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Mahathir. Maszlee berkata, beliau berundur sebagai penaja penubuhan parti itu selepas “yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elit”.
Keputusan Mazlee bemakna Pejuang kini hanya mempunyai 4 ahli Parlimen, termasuk Mahathir. Parti itu masih belum memperoleh kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Maszlee berkata, beliau akan sentiasa memanjatkan doa kepada Mahathir dan berharap hubungan baiknya dengan perdana menteri ke-7 itu kekal terpelihara, malah menjelaskan tidak pernah ada rasa benci atau dendam terhadap Mahathir.
“Kepada Mahathir, saya ucapkan teruskan perjuangan,” katanya.
Katanya, perjuangan barunya kini sudah bermula, selain memberi tumpuan kepada Parlimen Simpang Renggam, beliau berhasrat memulakan gerakan perubahan pendidikan dalam skala besar, kerana percaya masa depan Malaysia bergantung kepada pendidikan dalam negara.
“Rosak pendidikan, rosaklah masa depan. Saya juga yakin kedudukan juga kuasa bukanlah penentu kepada keberlangsungan perubahan. Tetapi percaya, iltizam, tekad dan kesempatan, semuanya bisa menukar harapan dan impian menjadi realiti,” katanya.
Terdahulu pembantu Mahathir mendakwa, parti baru pimpinan bekas perdana menteri, Pejuang, dan Maszlee berpatah arang selepas bekas menteri pendidikan itu membuat keputusan menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran di Facebook pembantu itu berkata, Maszlee didakwa menandatangani perakuan berkanun (SD) menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Menurutnya, Maszlee juga pergi ke rumah Mahathir untuk makan malam selepas beliau didakwa menandatangani SD sokongan itu.-FMT
Tinggalkan komen anda