Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dihidupkan semula apabila Kerajaan Perikatan Nasional memperuntukan RM81 juta di dalam Belanjawan 2021 petang tadi.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia diberi peruntukan sebanyak RM4 juta manakala peruntukan ke dua kepada JASA dilihat lebih besar menjadikan peningkatan 185 peratus berbanding sebelum ini di bawah kerajaan BN.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahan turut mempersoalkan mengapa jabatan berkenaan memperoleh peruntukan yang sangat besar berbanding keperluan-keperluan lain.
“Dahulu bawah BN (Barisan Nasional) pun (dapat) RM30 juta. Malangnya, peruntukan baik pulih sekolah daif dikurangkan ke RM58 juta.
“Peruntukan kesihatan mental hanya RM24 juta,” ciap beliau di akaun Twitter peribadinya.
Untuk rekod, pada Belanjawan 2011 JASA mendapat RM 21,759,400, 2012 (RM 21,392,000), 2013 (RM 23,127,100), 2014 (RM 24,572,800), 2015 (RM 21,718,100), 2016 (RM 22,801,000), dan Belanjawan 2017 (RM 22,886,500).
Ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, JASA dibubarkan kerana ia berunsur politik sedangkan peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.-MalaysiaDateline
Tinggalkan komen anda