Kerajaan sekarang tidak boleh ‘kelentong’ pembangkang lagi, kata Noh Omar


shadow

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berpendapat, sukar untuk meramalkan sama ada Belanjawan 2021 akan diluluskan kerana pembangkang hari ini pernah menjadi kerajaan dan menteri.

Wakil rakyat dari Umno itu secara berseloroh berkata, jika dahulu kerajaan boleh sedikit ‘kelentong’ menjawab soalan pembangkang, kali ini tidak lagi begitu.

“Dulu Shah Alam (Khalid) tidak pernah jadi menteri, sekarang sudah jadi menteri. Dulu kita dalam kerajaan, pembangkang tidak tahu apa peranan menteri.

“Kadang-kadang kita jawab kelentong pun pembangkang tidak berapa nak faham. Bila jawab soalan tambahan, sebagai menteri kita jawablah melalui pengalaman kita.

“Tetapi kita kena ingat, yang menjadi pembangkang hari ini pernah menjadi Perdana Menteri. Pernah menjadi Menteri Kewangan. Pernah menjadi Menteri Wilayah.

“Amat sukar untuk kita nak ramalkan sama ada belanjawan itu akan diluluskan atau tidak kerana masing-masing memberi hujah melalui pengalaman masing-masing,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani semalam.

Tiga Ahli Parlimen lain yang turut menjadi panel dalam slot itu ialah Khalid Samad (Shah Alam-AMANAH); Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu) dan Teo Nie Ching (Kulai-DAP).

Tambah Noh lagi, jika dahulu ahli penyokong kerajaan (backbenchers) menjadi ‘yes man’ untuk menjamin belanjawan diluluskan, namun situasi itu tidak terpakai untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, PN adalah gabungan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebagai penyokong dan tidak melibatkan parti, yang dengan itu menyukarkan keadaan apabila ahli-ahli Dewan Rakyat mempunyai pandangan mereka sendiri.

“Dulu kita mengamalkan ‘yes man’ termasuk ‘backbenchers’. Dulu mudah, parti menguasai kerajaan. Apa keputusan parti kita ikut.

“Tapi kerajaan PN ini adalah gabungan ahli-ahli Parlimen tidak melibatkan parti. Sebab itu kalau kata parti menguasai kerajaan, itu tidak tepat.

“Apabila parti tidak kuasai kerajaan, maka Ahli Parlimen mempunyai pandangan sendiri dan ianya jadi sukar,” katanya lagi.

Pada masa sama, Noh berkata, sokongan ahli-ahli Parlimen Umno terhadap Belanjawan 2021 belum lagi diputuskan dan akan menunggu jawapan Menteri Kewangan.

“Kita akan dengar jawapan menteri. Sekarang menteri-menteri tengah menggulung perbahasan. Kalau kita dengar jawapan Menteri Kewangan itu akan meyakinkan kita dan boleh beri kebaikan, mengapa tidak kita sokong.

“Tapi kalau jawapan Menteri tidak sama seperti yang kita suarakan dan rakyat harapkan, kalau kita sokong nanti rakyat marah pula. Jadi, tunggu dan lihat,” ujarnya lagi.-MalaysiaDateline

Tinggalkan komen anda