Had 80 ahli Parlimen: Pejuang dakwa kerajaan ‘ambil jalan mudah’


shadow

Pejuang membantah langkah mengehadkan hanya 80 daripada 222 ahli Parlimen menghadiri sidang Dewan Rakyat pada satu-satu masa mulai esok dan mendakwa kerajaan mengambil “jalan mudah” tanpa mengadakan prosiding dalam talian.

Dr Mahathir Mohamad bersama 3 ahli Parlimen parti itu berkata, keputusan mengehadkan jumlah ahli Parlimen untuk membendung penularan Covid-19 tidak berasas kerana ini bukan kali pertama Dewan Rakyat bersidang ketika penularan pandemik.

“Terdapat SOP yang dilaksanakan di dalam dewan seperti pemasangan penghadang lutsinar dan aturan kerusi secara penjarakan fizikal bagi sidang sebelum ini.

“Selain itu, persidangan secara digital juga boleh menjadi alternatif sesuai bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sempurna, tanpa mengehadkan keterlibatan ahli Parlimen dalam perbahasan

“Di waktu yang sama, rakyat disuruh bekerja secara alternatif dan atas talian, namun kerajaan sendiri mengambil jalan mudah dan keterbelakang,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Tiga ahli Parlimen lain ialah Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.

Kerajaan mengarahkan sejuta pekerja sektor awam dan swasta di Selangor, Sabah, dan Wilayah Persekutuan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat, bekerja dari rumah mulai 22 Okt lalu susulan lonjakan kes Covid-19.

Hari ini, Pejuang berkata, keputusan mengehadkan kehadiran ahli Parlimen itu tidak dibincangkan dengan mereka.

“Keterlibatan penuh ahli Parlimen dalam sesi Belanjawan 2021 cukup penting bagi memastikan belanjawan negara dapat diperhalusi mengikut keperluan rakyat tanpa ruang salah guna dan penyelewengan.”

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengumumkan hanya 41 ahli Parlimen kerajaan dan 39 wakil rakyat pembangkang serta bebas dibenarkan memasuki dewan pada satu-satu masa mulai esok.

Katanya, waktu persidangan juga dipendekkan dari 10 pagi hingga 2 petang minggu depan untuk membendung penularan Covid-19 di Parlimen.-FMT

Tinggalkan komen anda