‘Cuma MCA, MIC yang tak tawar saya masuk parti’


shadow

Meskipun enggan mendedahkan sama ada akan menyertai parti politik, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata dia mendapat pelawaan untuk menyertai beberapa parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang.

“Saya rasa (pelawaan dari) semua (parti politik). Cuma yang tak ada tawarkan kepada saya parti MIC dengan MCA.

“MIC dan MCA belum lagi. Dan parti di Sarawak.. Sebab takkanlah saya nak jadi (wakil rakyat) untuk parti di Sarakawa, kan?” katanya berseloroh ketika ditemu bual oleh Malaysiakini baru-baru ini di Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan di Cyberjaya.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai adakah dia mendapat pelawaan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Bagaimanapun menurutnya, dia tidak pasti sama ada pelawaan-pelawaan tersebut serius ataupun tidak.

Untuk rekod, Maszlee menang di atas tiket Bersatu. Selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang, dia merupakan antara ahli parlimen yang dilihat menyokong Muhyiddin Yassin dalam krisis kepemimpinan negara ekoran tindakan Bersatu menarik diri daripada PH.

Tidak lama selepas itu dia membuat pusingan-U kerana merasakan keberatan bersama Presiden Bersatu itu, apabila berada bersama dengan pemimpin Umno dalam membentuk kerajaan baru.

Dia kemudian menyertai parti Pejuang di bawah pimpinan bersama bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Namun, dia kemudian menarik diri daripada jawatankuasa penaja parti Pejuang.

Tak menyesal sertai Bersatu, Pejuang

Bagaimanapun, bekas menteri pendidikan itu berkata dia tidak menyesal menyertai Bersatu atau Pejuang kerana berpendapat ia merupakan pengalaman berharga baginya.

“Dalam kehidupan kita ini tak ada perkara yang sia-sia. Ada perkara yang kita lakukan berjaya kita lakukan, ada yang kita dapat hasratkan, ada yang kita lakukan tak seperti yang kita inginkan.

“Kita tak boleh sesalkan, kita tak boleh rasa sia-sia. Semuanya mempunyai pengajaran, pengalaman dan yang lebih penting ia dapat mematangkan kita dalam kehidupan,” katanya.

Bekas pensyarah kanan Univeristi Islam Antarabangsa itu amat berahsia apabila ditanya mengenai hala tuju politiknya untuk masa akan datang terutamanya rancangan pada pilihan raya umum.

Dia sebaliknya lebih selesa untuk memberikan jawapan bahawa buat masa ini dia ingin menumpukan tugas memperjuangkan isu-isu berkaitan pendidikan dan khidmatnya untuk penduduk di Simpang Renggam.

“Saya rasa apa yang lebih penting waktu ini ialah sejauh mana amanah yang diberikan sewaktu PRU14 yang lalu dapat saya berikan dan tumpahkan sepenuhnya.

“Saya pernah menjadi menteri yang mewakili kawasan tersebut, saya pernah (menjadi) wakil rakyat yang bukan menteri tapi sebahagian daripada kerajaan, saya menjadi pembangkang wakil rakyat di kawasan berkenaan dan kini saya wakil rakyat bebas di kawasan berkenaan.

“Pada saya di mana pun saya berada, saya perlu menumpahkan segala usaha dan juga tenaga untuk kebajikan rakyat di Simpang Renggam.. Kesudahannya mereka yang akan menentukan,” katanya.

Spekulasi dokumen sokongan pada Anwar

Maszlee sebelum ini terkait dengan kontroversi berhubung penyebaran satu dokumen sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Akuan bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani Maszlee menyokong Anwar sebagai perdana menteri tersebar di tengah-tengah kemelut politik negara.

Namun, ketika ditanya berhubung perkara itu, Maszlee enggan menjawab secara langsung tetapi mengulangi fokusnya untuk isu pendidikan dan penduduk di kawasannya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai adakah PKR merupakan parti politik yang ideal untuk dia menyertainya, dia berpendapat bahawa tidak adil bagi dirinya untuk membuat perbandingan antara parti yang terbaik untuk disertainya.

“Kita (negara) mempunyai banyak parti yang menarik dan banyak parti yang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing,” katanya.

“Saya rasa tak adillah saya katakan parti ini lebih baik daripada yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai spekulasi yang timbul selepas menarik diri dari Pejuang, dia menceritakan bahawa dia menerima pelbagai spekulasi yang mengatakan dia akan menyertai DAP, Amanah dan PAS atas beberapa alasan tertentu.

“Malah tidak kurang juga ada yang mengatakan perlunya saya untuk menyertai Umno pula.

“Jadi pada saya spekulasi… sebahagian daripada perkara yang menghiburkan rakyat.

“Jadi saya tidak boleh menghalang imaginasi setiap orang untuk bersikap begitu,” katanya.-Mkini

Tinggalkan komen anda