Belanjawan 2021 kerajaan PN yang didambakan sebagai belanjawan kononnya kerajaan berbelanja besar untuk memulihkan ekonomi negara sebenarnya bukan suatu realiti yang boleh dibanggakan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Faiz Fadzil, sekiranya diamati secara terperinci didapati banyak peruntukan yang penting dan harus diberi prioriti dipotong serta disalurkan kepada tempat-tempat yang tidak munasabah.
“Sekiranya dibandingkan semasa kerajaan PH Belanjawan 2020 lebih memanfaatkan rakyat sedangkan kerajaan PN kini, peruntukan untuk rawatan kanser dikurangkan 58 peratus atau RM192 juta dan rawatan untuk penyakit buah pinggang dipotong hampir 78 peratus atau RM196 juta, malahan peruntukan bagi pusat pengajian tinggi Bumiputera, UiTM turut dipotong sebanyak hampir RM129 juta bagi tahun 2021.
“Manakala bagi sektor pertanian dan perikanan, potongan peruntukan juga dibuat oleh kerajaan PN apabila jumlah peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan merosot RM158 juta berbanding RM4. 9 bilion dibawah PH.
“Lebih memeranjatkan apabila peruntukan untuk LKIM dikurangkan 26 peratus atau RM37.4 juta tahun hadapan dan bagaimana pula taraf sosio-ekonomi kehidupan nelayan boleh ditingkatkan serta industri perikanan negara dimajukan jika peruntukan asas dipotong sebegitu drastik sekali, ” tegas beliau.
Beliau juga mempersoalkan apakah kerajaan merasakan sektor pertanian dan perikanan tidak penting untuk memacu ekonomi negara apabila peruntukan dipotong sehingga RM3.1 juta.
Tambah beliau, keputusan kerajaan PN juga mengecewakan apabila menghadkan moratorium pinjaman hanya bagi kumpulan B40 bagi tempoh singkat tiga bulan dan golongan M40 pula hanya setakat menghulurkan bantuan sekiranya potongan gaji dilakukan oleh majikan ataupun kehilangan pekerjaan.
Lebih mendukacitakan belanjawan tersebut juga tidak memberikan tumpuan khusus kepada PKS dalam mengaplikasikan teknologi industri 4.0 walaupun seharusnya insentif seperti geran khas dan bantuan kewangan tambahan diberikan kepada PKS untuk meningkatkan proses operasi mereka.
Ujar beliau, secara keseluruhannya, belanjawan 2021 terkait dengan kelompongan dan kelemahan dalam menghadapi pandemik Covid-19 serta hanya indah khabar dari rupa yang tidak banyak membantu meringankan beban rakyat dan polisi utuh bagi memulihkan ekonomi negara.-MalaysiaDateline
Tinggalkan komen anda