‘Zahid perlu nyata pendirian berkenaan surat didakwa sokong Anwar’


shadow

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi perlu berani menyatakan pendirian berhubung surat tular yang mendakwa parti itu menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Syed Badli Shah Osman berkata, ini kerana rakyat lambat laun akan tahu perkara sebenar sama ada Zahid menyokong kepimpinan perdana menteri, Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

“Pada saya, Zahid kena berani menyatakan pendirian. Jika palsu, ambil tindakan. Jika benar nyatakan.

“Kerana akhirnya rakyat akan tahu juga akan kebenaran perkara ini sama ada Umno berpihak kepada Muhyiddin atau berpaling,” katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin, portal MalaysiaNow melaporkan Zahid dan bekas presiden Umno Najib Razak menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menunjukkan sokongan Umno kepada Anwar.

Umno menafikan kesahihan surat berkenaan, termasuk jurucakap pejabat presiden Umno itu.

Bagaimanapun, setakat ini, Zahid dan Najib sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan peribadi bagi menafikan surat yang mengaitkan nama mereka.

Selain Najib dan Zahid, satu lagi surat didakwa menyokong Anwar tular atas nama bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik.

Maszlee juga sehingga kini belum memberikan respons berhubung dakwaan yang membabitkan namanya.

Pada 23 Sept lalu  Anwar mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru. 

Beberapa jam selepas itu, Zahid mengesahkan terdapat ramai ahli parlimen Umno menyokong Anwar dan parti itu tidak dapat menghalang mereka.

Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Okt untuk menyerahkan apa yang didakwanya “dokumen sahih” sokongan lebih 120 ahli Parlimen terhadapnya. 

Bagaimanapun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli parlimen terbabit.

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad dilaporkan berkata bukti sokongan itu ialah dalam bentuk surat sokongan daripada beberapa pemimpin parti yang menyokong Anwar, termasuklah daripada Umno.

Pada hari sama Anwar ke istana, Umno mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan menuntut syarat baru kepada gabungan itu.

Kelamarin Muhyiddin meminta Umno memperincikan syarat baru berkenaan dalam apa yang dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan gabungan itu.-Mkini

Tinggalkan komen anda