Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil mencadangkan supaya Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri terlebih dahulu dan menyerahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk membuat sebarang keputusan.
Isham berkata, langkah itu adalah lebih sopan dan “gentleman” dengan memberi ruang sepenuhnya kepada Agong untuk membuat keputusan tanpa apa-apa kekangan atau paksaan.
“Untuk mengelakkan jalan yang panjang dan memakan masa tetapi dengan pengakhiran yang sama adalah lebih afdal untuk rakyat dan negara jika Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri terlebih dahulu.
“Ia adalah bagi menentukan sepenuhnya sama ada untuk melantik perdana menteri yang baru, membubarkan Parlimen, atau mengisytiharkan darurat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan berada di Kuantan, Pahang menghadap Sultan Abdullah bersama-sama beberapa anggota Kabinet lain di sebalik spekulasi bahawa Putrajaya ketika ini mempertimbangkan untuk melaksanakan “darurat”.
Pertemuan itu menyusuli mesyuarat khas Kabinet membincangkan Belanjawan 2021 di Putrajaya.
Selain menteri, difahamkan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Peguam Negara, Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador turut hadir ke mesyuarat itu.
Isham turut memetik situasi yang berlaku di India, membabitkan tindakan bekas perdana menteri Indira Gandhi pada 1975 yang mengisytiharkan darurat selepas dilucutkan jawatan ahli Parlimen dan perdana menteri oleh mahkamah atas kesalahan pilihan raya.
“Pada 1977 kerana terpaksa akibat tekanan rakyat, Gandhi membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum dan menamatkan darurat.
“Pada pilihan raya itu, beliau dan parti Kongresnya kalah teruk dengan kehilangan hampir separuh daripada 352 kerusi yang dimenangi sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Amanah dalam kenyataan hari ini berkata, cadangan mengisytiharkan darurat adalah tindakan politik yang mahu mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ke-3 Covid-19 dan akan hanya menambah derita yang sedia dihadapi rakyat.
“Mahu tidak mahu pengisytiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kaca mata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia,” katanya.
Parti itu berkata, adalah lebih baik sekiranya Muhyiddin mengakui sudah kehilangan sokongan majoriti dan meletakkan jawatan.
Menurutnya, ia tindakan yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab berbanding mengisytiharkan darurat.
“Amanah mengharapkan Agong akan menolak cadangan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat dan sebaliknya mempertahankan institusi demokrasi berparlimen sekali gus menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik,” katanya.-FMT
Tinggalkan komen anda