Ku Li gesa raja tolak cadangan ‘PM tidak sah’


shadow

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu tidak melayan sebarang permintaan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu berkata, permintaan sedemikian akan menjadi “permintaan tidak sah dan berdasarkan alasan tidak kukuh”.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li, turut menyifatkan Muhyiddin tidak lagi memiliki legitimasi untuk menjadi perdana menteri dengan enggan menghadapi undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

“Saya juga mempunyai maklumat menunjukkan perdana menteri tidak mempunyai majoriti mudah ahli Dewan Rakyat. Jika tidak, kenapa beliau takut menghadapi undi tidak percaya?” soalnya.

Ku Li antara beberapa ahli Parlimen yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin kepada speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, secara dasarnya salah untuk Muhyiddin meminta pengisytiharan darurat, mungkin untuk melindungi kedudukan sendiri.

“Perdana menteri yang tidak sah tiada kedudukan moral untuk meminta pengisytiharan yang akan memberinya kuasa meluas tanpa sebarang akauntabiliti serta semak dan imbang.”

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuantan untuk menyampaikan cadangan yang dicapai dalam mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat.

Agong akan membincangkan cadangan Muhyiddin dengan raja-raja Melayu dalam masa terdekat.

Tiada butiran berhubung cadangan itu, tetapi spekulasi tersebar luas mendakwa pelaksanaan darurat atau darurat separa antara perkara dikemukakan kepada Agong.ADVERTISING

Perkara lain dipercayai termasuk Belanjawan 2021, yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini.-FMT

Tinggalkan komen anda