Masanya sudah tiba bagi ahli politik membuktikan kesepakatan dalam membantu usaha menangani pandemik COVID-19 secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said, berkata pemimpin negara kini berdepan ujian besar manakala rakyat melihat masa hadapan yang kian pudar.
“Sekarang adalah masa untuk ahli politik menunjukkan kesatuan dan kesepakatan ketika negara diancam COVID-19.
“Tidak perlulah mempolitikkan setiap isu yang timbul. Tidak perlu lagi menuding jari, mencari salah siapa, tidak perlu lagi berebut kuasa.
“Isu penting seperti kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diletakkan sebagai fokus utama, termasuk keselamatan negara serta hala tuju ekonomi kita,” katanya menerusi catatan blognya, hari ini.
Beliau berkata, langkah ‘gencatan politik’ yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencerminkan semangat meletakkan kepentingan diri di belakang dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.
Salleh berkata, gencatan itu bukan bermaksud mengalah atau kalah, sebaliknya ahli politik dan parti perlu bekerja sebagai satu pasukan yang tidak mengambil kira aspek partisan.
“Ketepikan prejudis, bentuk satu pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini dikira juga sebagai norma baharu,” katanya.-BH
Tinggalkan komen anda