Anwar ‘desprados’: MP PAS sokong Muhyiddin, PN – Takiyuddin


shadow

PAS menegaskan semua 18 ahli parlimen parti itu menyokong penuh Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional sekarang.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak terkesan langsung dengan retorik yang dibawa oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, bahawa beliau mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

“PAS mengganggap isu yang dibangkitkan oleh individu yang sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi di samping ‘menangguk di air keruh’ ketika Kerajaan PN sedang menguruskan masalah Covid-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.

“Dalam hal ini PAS sekali lagi amat yakin Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) tidak akan melayan tindakan ‘desprados’ ini, sebaliknya baginda akan mengendalikannya berdasarkan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara yang amat jelas,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin juga menggesa kerajaan mengambil “tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pihak” yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat, di samping mengakibatkan terjejasnya sektor ekonomi negara dari tindakan tersebut.

Bagaimanapun, tidak jelas sekiranya langkah Anwar menukar kerajaan bersamaan dengan apa yang disebutkan menteri undang-undang itu sebagai tindakan menimbulkan “keresahan” yang memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Anwar yang juga ketua pembangkang parlimen memberitahu beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, pada Selasa, 13 Oktober depan depan untuk mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” katanya pada satu kenyataan 8 Oktober lalu.

Susulan pengumuman Anwar pada 23 Sept lalu yang beliau mempunyai majoriti bagi mengambil kerajaan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau mendapat tahu ramai wakil rakyat parti itu menyokong Anwar.

Katanya, beliau tidak dapat menghalang jika ahli parlimen Umnoingin menyokong Anwar membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional Annuar pada hantaran di media sosial malam tadi berkata menjadi tugasnya melaksanakan dasar parti dan arahan pucuk pimpinan.

Annuar turut menegaskan antara dasar yang dipersetujui gabungan itu bahawa tidak ada kerjasama dengan Anwar, DAP dan Dr Mahathir Mohamad.

“MP BN menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“MN menjemput Bersatu menyertai MN, Bersatu bersetuju.

“BN, PAS, Bersatu perlu bermuafakat dan elak tiga penjuru pada PRU15,” katanya.

Jelas Annuar, rundingan kerusi pilihan raya umum akan datang antara tiga parti itu telah bermula.

Menurutnya, selagi dasar-dasar BN, MN ini tidak diubah, beliau akan terus “melaksanakannya walaupun kadang kadang menemui kesukaran.”

“Memutuskan dasar tidak mudah. Melaksanakan dasar mungkin lebih payah lagi,” katanya lagi.-Mkini

Tinggalkan komen anda