Tak perlu beralah pada PAS untuk PRU15, kata Ku Li


shadow

PAS tidak perlu diberi laluan mudah dalam pilihan raya umum akan datang kerana parti Islam itu enggan memenuhi tuntutan Umno, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Katanya, biarpun kedua-dua parti itu berkerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) sehingga kini pemimpin Umno tidak diberikan jawatan exco di negeri dikuasai PAS.

Tambahnya perkara itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat MN namun PAS tetap tidak memberi ruang kepada Umno, kata ahli Parlimen Gua Musang tersebut.

Walhal PAS masih tidak dapat menyelesaikan isu pentadbiran seperti bekalan air walau selepas 30 tahun mentadbir negeri itu.

“Apa penting PAS ini? Di Kelantan air berkarat lagi dan sekarang dengar khabar nak ambil lagi 30 tahun selesaikan air yang sekarang berwarna merah karat.

“Perkara itu (jawatan) kita sudah bincang dalam MN tapi mereka tak bagi jalan. Itulah saya tekankan soal keikhlasan tadi.

“Kalau kerjasama kita kira macam adik-beradik lah tapi tidak begitu sekarang,” kata veteran Umno itu lagi dalam wawancara khas dengan Insight Talk.

Beliau mengulas usul diluluskan PAS dalam muktamar minggu lalu yang menetapkan untuk terus mendominasi kerusi di tiga negeri dikuasainya – Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRU15.

Presidennya Hadi Awang dalam muktamar itu barkta, biarpun pembahagian kerusi belum lagi dimuktamadkan namun PAS akan mendominasi sejumlah kerusi di negeri tersebut.

Muktamar di Kelantan itu turut meluluskan usul agar PAS diperuntukan 50 kerusi Parlimen dalam PRU akan datang nanti.

Tuntutan mengenai jumlah kerusi pada PRU 15 pada awalnya dibangkitkan Ketua Pemudanya Ahmad Fadhli Shaari apabila parti itu tidak diperuntukkan sebarang kerusi dalam PRN Sabah.

Ujarnya, kenyataan PAS itu seolah-olah menafikan gerakan kerjasama yang dibentuk antara dua parti itu.

Katanya, mengikut semangat MN, kerusi bagi PRU15 patut diagihkan secara sama rata bagi kedua-dua parti dan tidak harus dibolot oleh satu parti sahaja.

“Nak beri laluan apa lagi. Dia dah berkuasa di Kelantan ini.

“Dia dah dapat kerusi terbanyak. Dia nak (seluruh) dunia ke? Mana kerjasama? Itu soalan saya, apa makna kerjasama bila dia nak semua,” katanya.

MN merupakan gerakan kerjasama antara Umno dan PAS, dua parti Melayu terbesar yang ditubuhkan secara rasmi setahun lalu.

Kerjasama politik antara dua parti itu sebagai persediaan untuk mengelak kedua-dua parti itu bertembung dalam PRU15.

Satu lagi parti majoriti Melayu, Bersatu kini turut menyertai MN.

Tinggalkan komen anda