‘Saya penuhi undangan rakan belanja makan’



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, menegaskan kehadirannya dalam satu majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor, sekadar memenuhi jemputan rakan lama yang mahu meraikannya.

Ia berikutan penularan video dan gambar bekas Menteri Besar Johor itu yang dilihat menghadiri majlis makan malam PEJUANG Johor, semalam.

“Saya pergi kerana memenuhi jemputan kawan-kawan lama yang kebanyakannya dahulu adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Mereka mahu tahu kedudukan sebenar saya dalam BERSATU dan bersimpati dengan saya.

“Mereka ucap terima kasih kerana bersama di Slim baru-baru ini dan mereka belanja makan. Itu sahaja,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Gambar tular Osman menghadiri satu majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor. - Foto ihsan Facebook Abu Bakar Yahya Aby
Gambar tular Osman menghadiri satu majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Johor. – Foto ihsan Facebook Abu Bakar Yahya Aby

Semalam, Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam didakwa hadir dalam acara PEJUANG, tiga hari selepas Lembaga Disiplin BERSATU mengesahkan beliau masih anggota parti itu.

Rakaman video dan gambar yang tular itu antara lain memaparkan Osman berucap, bergambar dan makan malam bersama kumpulan yang didakwa ahli PEJUANG Johor.

Sebelum ini, tular video memaparkan Osman yang dipercayai berucap dalam kempen calon Bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya ketika itu sekadar bertemu rakan lama dan tiada kaitan dengan politik.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) menguasai 29 kerusi manakala pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Tinggalkan komen anda