POLITIK BAHARU TOLAK ISU BANGSA DAN AGAMA


shadow

 Dalam era politik baharu ini, pemimpin tidak boleh lagi bercakap atau fokus mengenai bangsa dan agama.

Ketua Pemuda DAP, Phoong Jin Zhe, berkata sentimen itu tidak seharusnya dimainkan lagi sekarang.

“Kita mesti menolak politik wang, kleptokrat dan ahli politik yang melompat.

“Oleh itu rakyat Sabah perlu memilih parti dan pemimpin yang tidak memainkan isu seperti agama dan bangsa.

“Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah pemimpin pilihan terbaik kepada orang Sabah kerana beliau selalu percaya dengan rakyat dan nilai perpaduan,” katanya ketika sesi bertemu rakyat di sini hari ini.

Sesi itu turut diiringi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman calon kerusi DUN Likas, Tan Lee Fatt.

Katanya, sekarang ini semakin banyak politik toksik yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat Sabah.

Phoong yang mempertahankan kerusi DUN Liyang, juga percaya prinsip dan caranya bekerja di Luyang akan menjadi kelebihan kepadanya yang menghadapi persaingan penjuru di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hujung bulan ini.

Sementara itu Syed Saddiq berkata beliau kagum dengan perpaduan rakyat di Sabah yang perlu dibawa ke Semenanjung.

“Kita perlu mengajar mereka mengenai perpaduan dan kepelbagaian kerana ini adalah kekuatan kita. Ini tidak boleh menjadi faktor pemisah,” katanya sambil menambah bahawa sudah tiba masanya Sabah diperakukan sebagai rakan setaraf dengan Persekutuan Malayasia.

Beliau juga mengatakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk menghantar mesej kepada katak politik bahawa mereka tidak lagi mempunyai prinsip dan tidak boleh dipercayai.

Tinggalkan komen anda