Pejuang akan diterajui pemimpin bebas korupsi, kata Dr Mahathir


shadow

HANYA mereka yang anti rasuah dan anti politik wang akan menjadi pemimpin Pejuang, kata pengasasnya Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, ini bagi memastikan di masa hadapan, pemimpin ini tidak mudah dibeli dengan wang dan kuasa sehingga berpaling tadah dan membenarkan kerajaan pintu belakang berkuasa.

Katanya juga, pemimpin yang korup kembali berkuasa di Malaysia selepas menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat pada hujung Februari lalu.

Dakwanya lagi, di Sabah berjuta ringgit ditawarkan untuk membei pemimpin bagi menjatuhkan kerajaan negeri itu.

“Besar kemungkinan di masa hadapan penjenayah kaya akan beli kerajaan dengan berjuta ringgit dan pemerintahan kuku besi didiri oleh penjenayah.

“Atas kesedaran kemungkinan inilah maka parti Pejuang ditubuh. Kita akan tentukan pemimpin Pejuang akan terdiri dari pejuang-pejuang anti-rasuah dan anti-politik wang,” katanya dalam satu catatan di blognya, hari ini.

Dr Mahathir melancarkan Pejuang, parti berasaskan Melayu itu bulan lepas selepas beliau dan penyokong setianya hilang keahlian dalam Bersatu kerana menyokong pembangkang.

Kumpulan itu menentang keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan baharu, Perikatan Nasional.

Pejuang sedang menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Kata Dr Mahathir lagi, Malaysia sudah menjadi negara korup terutama dalam politik dan ia jelas terbukti apabila kerajaan dipilih rakyat ditumbangkan.

“Jika dibiar rasuah akan berkembang dan akan rosakkan pentadbiran negara dan menghalang pembangunannya.

“Rakyat semua akan menderita teruk kerana terpaksa menghulur wang untuk khidmat kerajaan.

“Parti Pejuang ditubuh untuk membanteras aliran ke arah ini,” katanya.

Tambah Dr Mahathir lagi, partinya akan menjunjung konsep kedaulatan undang-undang dan akan membantu rakyat terlibat dalam perniagaan dan keusahawaan mengikut aturan dan peraturan yang sah.

“Percayalah kami mempunyai banyak cara (idea) untuk menjayakan peperangan kami melawan rasuah dan politik wang,” kata ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

Beliau juga menegaskan yang Pejuang tidak terikat dengan mana-mana pakatan politik.

“Kami tidak terikat dengan mana-mana parti campuran. Sebaliknya kami akan sokong mana-mana pihak yang utamakan prinsip-prinsip perjuangan kami.”

“Kami seru kepada rakyat supaya sertai kami atau sokong kami dalam PRU.”

Tinggalkan komen anda