Nur Jazlan pertahan kenyataan Zahid ‘ramai MP Umno sokong Anwar’


shadow

Pemimpin Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed mempertahankan kenyataan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan Umno tidak boleh menghalang mana-mana anggota parlimennya daripada menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Jazlan, yang merupakan timbalan pengerusi Umno negeri, dilaporkan berkata bahawa Zahid ingin mententeramkan akar umbi parti itu yang tidak senang terhadap kerjasama dengan Bersatu.

Beliau juga berkata Zahid membuat kenyataan itu agar mereka yang tidak setia dengan parti boleh keluar dan menyokong Anwar, lapor The Malaysian Insight.

“Apa yang Zahid lakukan adalah perkara yang betul untuk Umno. Kita akan hadapi pilihan raya dan akar umbi sangat marah untuk Umno bekerjasama dengan Bersatu.

“Apa yang Zahid lakukan adalah yang terbaik untuk Umno kerana PM ini (Perdana Menteri Muhyiddin Yassin) bukan dari kalangan kita,” kata Nur Jazlan.

Nur Jazlan merujuk kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila mengambil alih kerajaan persekutuan pada Mac lalu setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Untuk rekod, Umno yang mempunyai 39 anggota Parlimen adalah salah satu parti yang menyokong kerajaan Muhyiddin. Bagaimanapun ia bukan sebahagian daripada gabungan itu secara rasmi.

Semalam, ketua pembangkang dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Berikutan itu, Zahid berkata ramai anggota parlimen Umno dan BN menyatakan sokongan terhadap Anwar, dan parti itu tidak dapat menghalang mana-mana anggota parlimennya yang mahu menyokong presiden PKR itu sebagai perdana menteri.

“Sebagaimana diketahui umum, Umno dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari ahli-ahli parlimen sahaja,” kata Zahid dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata ada anggota parlimen Umno yang didakwa membuat perjanjian dengan Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini katanya termasuklah anggota Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin, yang merupakan pemimpin Umno sebelum menyertai Bersatu, dan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

“Hamzah Zainuddin dan Hishammuddin (Hussein) juga ada permainan di belakang Zahid. Ahli Parlimen Umno juga lompat ke Bersatu sebelum ini dengan syarat tidak adil.

“Kembali kepada sejarah. Ketika pentadbiran Dr Mahathir, ahli Parlimen Umno tidak tunjuk kesetiaan mereka kepada parti,” kata Nur Jazlan.

Tinggalkan komen anda