Najib sokong Dr Mahathir terus jadi PM sebelum Langkah Sheraton


shadow

BEBERAPA pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan jenayah, termasuk bekas presidennya Najib Razak menyokong Dr Mahathir Mohamad untuk terus menerajui negara ketika kemuncak krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) pada Februari, kata Mukhriz Mahathir.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, terdapat enam hingga tujuh pemimpin Umno menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir. 

“Nama Najib pada senarai teratas walaupun beliau sering disindir Dr Mahathir selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah,” kata Mukhriz pada program bual bicara Insight Talk.

“Teerdapat gambar pertemuan semua pemimpin parti dengan Tun (Dr Mahathir). Tun memegang sehelai kertas. Ia adalah senarai nama ahli Parlimen yang setuju menyokong beliau sebagai perdana menteri dan nama Najib adalah paling atas dalam senarai itu.

“Turut ada dalam senarai berkenaan adalah presiden Umno sekarang (Ahmad Zahid Hamidi) dan ahli Parlimen Umno lain yang didakwa atas pelbagai kesalahan selepas PH menang.”

Mukhriz bagaimanapun berkata, Dr Mahathir melihat senarai berkenaan dan tidak dapat menerima pemimpin Umno yang didakwa. Itu menurutnya adalah prinsip Dr Mahathir. 

Dr Mahathir sentiasa bertegas bahawa beliau tidak akan bekerja sama dengan pemimpin Umno yang korup yang beliau jatuhkan pada PRU14. 

Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini tidak dapat persembahkan sokongan ahli Parlimen yang cukup untuk beliau menjadi perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Yang di-Pertuan Agong kemudian mengadakan pertemuan dengan semua ahli Parlimen dan pemimpin politik untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perdana menteri baharu. 

Baginda kemudian berkenan melantik Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8. Muhyiddin kemudian mengumumkan gabungan kerajaannya sebagai Perikatan Nasional. 

Mengimbas kembali mesyuarat majlis pimpinan tertinggi Bersatu pada Februari tahun ini yang dipengerusikan Dr Mahathir, Mukhriz berkata semua yang hadir bersetuju untuk menyokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri. 

“Mesyuarat bersetuju bahawa kita tidak akan menerima sokongan pemimpin yang korup. Terdapat senarai nama pemimpin korup dan majlis tertinggi bersetuju tanpa berbelah bahagi untuk tidak menerimanya,” katanya. 

“Bagaimanapun, presiden (Muhyiddin) tidak setuju. Kami bingung mengapa beliau perlukan pemimpin korup.

Mukhriz Mahathir berkata Dr Mahathir Mohamad tetap berpegang kepada prinsip untuk tidak bekerjasama dengan pemimpin Umno yang korup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2020.
Mukhriz Mahathir berkata Dr Mahathir Mohamad tetap berpegang kepada prinsip untuk tidak bekerjasama dengan pemimpin Umno yang korup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2020.

“Tun sudah jelaskan yang beliau tidak akan bekerjasama dengan ahli Umno yang korup. Apa yang ditentukan pada mesyuarat itu tidak diendahkan.”

Kemudian pada hari yang sama, Langkah Sheraton berlaku yang menyaksikan Muhyiddin menarik Bersatu keluar daripada PH menyebabkan kejatuhan kerajaan 22 bulan itu. Beliau kemudian dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan Umno, PAS dan GPS. 

Antara mereka yang hadir pada mesyuarat di Hotel Sheraton adalah Muhyiddin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Zahid, Tengku Adnan Tengku Mansor, Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Mukhriz berkata nama Dr Mahathir dipergunakan oleh beberapa ahli politik ketika insiden itu. 

“Tun tidak hadir kerana beliau tidak setuju dengan langkah itu. Namun namanya digunakan seolah-olah arahan untuk hadir adalah daripada beliau. Beliau ada di rumah. 

“Syed Saddiq (bekas menteri belia dan sukan dan ketua Pemuda Bersatu) dipanggil oleh presiden untuk hadir ke hotel berkenaan.

“Saya tidak menerima sebarang undangan,” tambah Mukhriz.

Pertelingkahan antara Muhyiddin dan Dr Mahathir semakin berlarutan selepas insiden itu, yang akhirnya beliau dan beberapa penyokong kuatnya, termasuk Mukhriz hilang keahlian Bersatu. 

Mereka kemudiannya menubuhkan parti Pejuang bulan lalu, sebuah parti Melayu yang membawa prinsip Bersatu dalam memperjuangkan hak Melayu. Dr Mahathir menjadi pengerusi Pejuang manakala Mukhriz sebagai presiden. 

Sementara itu Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa kerana menerima dana RM42 juta daripada SRC International bulan lalu.

Kes SRC International merupakan yang pertama daripada lima perbicaraan melibatkan ahli Parlimen Pekan itu selepas PRU14 pada 2018

Tinggalkan komen anda