Muhyiddin perlu bubar dan adakan pilihan raya awal, kata penganalisis


shadow

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya awal sekiranya ketua pembangkang Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan baharu, kata penganalisis.

Menurut mereka, Muhyiddin yang menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional pada Februari tidak mempunyai sokongan majoriti untuk partinya, Bersatu dan perlu adakan pilihan raya daripada berunding lagi dengan parti lain.

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Dr Oh Ei Sun memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin mungkin akan meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen daripada berunding dengan Anwar.

“Sekiranya Muhyiddin mahu bubar, beliau mungkin menasihatkan Agong untuk bubar Parlimen namun partinya mungkin tidak bertahan pada pilihan raya umum. Ia juga bergantung kepada berapa banyak yang Umno akan kuatkan Bersatu.

“Melainkan beliau ada perjanjian dengan Anwar, yang mana beliau letakkan jawatan sebagai perdana menteri dan peranannya sebagai menteri kanan. Melainkan, beliau mungkin akan bubar,” kata Oh kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Anwar mendakwa mempunyai sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan dan sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan yang diterima dan mendakwa mempunyai majoriti yang “kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan. 

Bekas timbalan perdana menteri itu turut menawarkan kerjasama kepada Muhyiddin dan berkata beliau akan beri penghargaan kepada presiden Bersatu sekiranya bekerjasama dan memastikan kelancaran peralihan kuasa.

Oh berkata pengumuman Anwar juga akan memaksa istana membuat keputusan sama ada untuk memperkenankan beliau menjadi perdana menteri sekiranya ada sokongan yang cukup atau membubarkan Parlimen.

“Ia sama ada akan mengulangi apa yang berlaku pada Februari yang mana Yang di-Pertuan Agong akan melantik Anwar yang pada pandangan baginda mempunyai sokongan majoriti. 

“Atau Yang di-Pertuan Agong akan perkenan nasihat Muhyiddin untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum,” katanya.

Pengarah eksekutif Ilham Centre Mohamad Hisomuddin Bakar berkata, ia memalukan untuk Muhyiddin menerima tawaran Anwar dan sebaliknya mengadakan pilihan raya awal. 

“Ia tidak semudah yang Anwar sangka. Maruah Muhyiddin dipertaruhkan. Pilihan terbaik beliau adalah bubar. Jika tidak permainan ini akan berterusan,” kata Hisomuddin.

Beliau berkata, Muhyiddin berada di kedudukan terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum kerana kerajaannya popular dalam kalangan rakyat selepas mengendalikan pandemik Covid-19 dan pemberian bantuan ekonomi.

“Kerajaan hari ini ada momentum. Lebih baik mereka bubarkan sahaja. Mood rakyat adalah dengan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional,” kata Hisomuddin.

Bagaimanapun penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sebelum Muhyiddin mengadakan pilihan raya, beliau perlu selesaikan rundingan kerusi dengan Umno dan PAS. 

“Walaupun Muhyiddin popular, beliau tidak kukuh di Parlimen. Tidak semua orang dalam Umno sokong Muhyiddin. Beliau kini dalam situasi sukar. Apa yang beliau boleh lakukan hanya biar masa menentukan dan melihat kepada pilihan yang ada untuk terus bertahan,” kata pensyarah Universiti Malaya itu.

“Sekiranya Muhyiddin yakin dengan rundingan kerusi, beliau pasti akan teruskan dengan pilihan raya awal bagi menafikan laluan mudah Anwar ke Putrajaya.

“Jika beliau (Muhyiddin) mampu lawan Anwar beliau akan lakukan, namun beliau akan cadangkan pembubaran sekiranya semua tidak menjadi,” kata Awang Azman.

Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin telah tumbang kerana beliau memiliki sokongan majoriti untuk mengambil alih Putrajaya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong menerusi panggilan telefon selepas baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Anwar berkata beliau hanya akan dedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya selepas ia dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tidak lama selepas pengumuman Anwar, DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan terhadapnya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata beliau tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen dalam partinya untuk menyokong Anwar.

Bagaimanapun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

DAP mempunyai 42 ahli Parlimen, Amanah (11), PKR (38), Umno (41) dan GPS (18).

Tinggalkan komen anda