Lincahnya Shafie ‘berpencak’ dari pentas ke pentas


shadow

Sabah untuk orang Sabah – itu mesej yang dikelek Mohd Shafie Apdal ke mana-mana saja lokasi kempennya sejak penamaan calon berlangsung pada 12 Sept lalu.

“Yang menentukan siapa berkuasa di Sabah, bukan Kuala Lumpur. Yang menentukan siapa yang berkuasa di Sabah ini, ialah orang-orang Sabah!” dialog ini hampir tidak pernah tertinggal dilontar Shafie di pentas ceramah, dilontar dengan suara serak-serak menerannya, dan selalu disambut tepukan dan sorakan hadirin.

Di pentas, Shafie tak pernah gagal memancarkan pesona besar sebagai antara calon utama PRN kali ini.

Lebih-lebih lagi di Semporna, kawasan Parlimennya. Kehadiran Shafie menarik ramai orang yang berpusu-pusu mahu bertemu ketua menteri dari Warisan itu. Dengan dialek Bajau, syarahannya selalu memancing sorak dan tawa apabila sesekali jenaka diselitkan.

Shafie tidak berlapik semasa memberikan bayangan bahawa hanya di tangan Warisanlah nasib orang Sabah akan terbela, manakala – katanya – dia sudah cuba melakukan yang terbaik sepanjang menjadi ketua menteri.

Tetapi, kata Shafie lagi, dua tahun sejak PRU 2018 adalah tempoh yang begitu singkat.

Shafie menampilkan diri sebagai orang Sabah. Dia cuba meyakinkan pengundi bahawa berdirinya di gelanggang politik, susun langkah, bunga dan buahnya – semua demi orang Sabah.

“Isu laut dalam, yang meluluskannya Kuala Lumpur. Ikan ini di Semporna, pandai cakap Bajau ikan ini.

“[…] Kehidupan di pantai timur ini, nelayan. Takkan kapal laut dalam semuanya datang dari bukan daerah Semporna? Kuasa ini kena kembalikan kepada kerajaan negeri untuk menentukan siapa dapat lesen tangkap ikan laut dalam.

“Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) setuju. Perjanjiannya, kita kena dengar suara Sabah untuk menentukan masa depan lesen laut dalam, akan ada suara dan bidang penentuan daripada kerajaan negeri Sabah,” katanya di Kampung Balimbang, Pulau Bum Bum pada hari pertama kempen.

‘Sudah ada bini cukuplah’

Begitulah juga apabila Shafie memetik beberapa lagi hal dan bidang kuasa yang berjaya dia kembalikan kepada Sabah hasil rundingan dengan kerajaan PH di Putrajaya dulu.

Antaranya lesen kapal pelancongan di Pulau Sipadan – yang pada asalnya dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, serta cukai jualan 5 peratus ke atas sembilan syarikat minyak yang beroperasi di Sabah.

Dalam kempennya di Kudat, Shafie mendakwa, dalam tempoh 26 bulan Warisan memerintah, daripada 20 tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan pusat berhubung hal-ehwal Sabah, 17 berjaya mendapat kelulusan dan dikembalikan kepada Sabah.

Nampaknya, Shafie memilih strategi itu untuk mengurangi jisim relevansi parti-parti semenanjung, sekali gus menambah berat bagi parti Sabah – terutamanya Warisan.

Dalam masa sama, dia tak lupa menembak seteru dari Sabah dengan nada sinis – kebanyakannya dalam dialek Bajau – terutamanya apabila watak Si Jeffrey (Kitingan), Si Anifah (Aman), dan Si Musa (Aman).

Malah, Shafie selalu merujuk Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Anifah dengan nada sinis dan menyindir sebagai “Parti Cinta”.

“Parti cinta? Apa lagi kamu mahu bercinta ini? Sudah ada bini, cukuplah,” celotehnya. Ia nampak disenangi hadirin yang selalu ketawa dengan jenaka itu.

Mungkin sebab itu ia sering diulang-ulang Shafie setiap kali merujuk PCS dalam jelajah kempennya.

Shafie, Musa dan Anifah semuanya pernah sepasukan dalam Umno, malah kesemuanya pernah memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran sama ada di persekutuan atau di peringkat negeri.

Shafie bekas naib presiden Umno dan pernah menjadi menteri bersama Anifah. Musa pula bekas ketua menteri Sabah selama beberapa penggal. Sementara Shafie mengepalai Warisan, Anifah mengetuai PCS, Musa – setakat ini – masih bersama Umno.

Jeffrey pula mempunyai senarai panjang mengenai penyertaan parti politiknya, tetapi kini dia mengetuai Parti Solidariti Tanah Airku (Star) – yang bertanding bawah lambang Perikatan Nasional (PN), bersekutu dengan Bersatu dan BN, menentang Warisan Plus.

Jika di Semporna, pengaruh Shafie memang dirasakan begitu mencengkam, sementelah dia menyandang kerusi Parlimen Semporna selama enam penggal sejak 1995. Dia mula menyandang jawatan Adun Senallang sejak penggal lalu, pada PRU ke-14.

Sanggup dipanggang terik

Dua hari pertama kempen, Shafie menjelajah ke Pulau Bum-Bum, Kampung Simunul, Kampung Bangau-Bangau, Tagasan, dan Kampung Mantaritip – di bawah DUN Sulabayan, Senallang, dan Bugaya – sedangkan seteru politiknya dilihat agak sunyi.

Ketiga-tiga DUN itu dianggarkan mempunyai pengundi sekitar lebih 50,000 orang – iaitu lebih 60 peratus atau lebih 30,000 orang – adalah kaum Bajau.

Di Kampung Mantaritip, kata Shafie kepada pemberita, dia memang memfokuskan untuk bertemu dan bersemuka dengan penduduk berbanding berhubung melalui media sosial. Sementelah pula liputan internet di Sabah tidak begitu bagus.

Meskipun Shafie sering mengingatkan tentang penjarakan fizikal, hal itu jelas gagal dipatuhi di kebanyakan lokasi kempen, seperti di Kampung Simunul dan Kampung Bagau-Bangau yang menyaksikan penduduk menghurung dan berarak seperti semut menghurung gula.

Secara umum, kehadiran orang dalam kemunculan Shafie dengan mudah mengatasi angka 500 orang. Ia jauh lebih tinggi berbanding 250 orang yang disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam garis panduan pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Sabah ini.

Syarat itu dikeluarkan SPR pada 11 Sept lalu dan boleh dilihat di laman web agensi berkenaan.

Ada yang sanggup berteduh di sebalik bayang-bayang lori dan bas apabila khemah penuh, ada yang duduk berteduhkan payung yang dibawa, dan tidak kurang yang rela berdiri di tengah-tengah terik panas selama lebih sejam bagi mengintai wajah Shafie.

Keadaan lebih terkawal di lokasi yang agak jauh sedikit dari bandar Semporna, seperti di Mantaritip (Senallang) dan Kunak (bukan di bawah kawasan parlimen Semporna).

Meksipun orang masih ramai, mereka masih mengekalkan jarak kerusi sesama mereka.

Keterujaan mereka juga tampak lebih terkawal ketika bertemu Shafie.

Berdasarkan pemerhatian, nama Shafie masih besar di sekitar Semporna. Di Semporna, ketiga-tiga DUN di kawasan parlimen tersebut sebelum ini memang dimenangi oleh calon Warisan. Shafie di Senallang, Jaujan Sambakong di Sulabayan, dan Manis Buka Mohd Darah di Bugaya.

Ketiga-tiganya kembali bertanding dalam PRN kali ini.

Macam pukul diri sendiri

Di Senallang, Shafie bertanding dengan empat pesaing, dari PN (Bersatu), PCS, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Antara calon yang dilihat ‘utama’ selain Shafie ialah calon PN yang merupakan anak buahnya sendiri, Norazman Utoh Nain.

Akui jurutera itu, meskipun terbit rasa risau berdepan dengan Shafie yang mempunyai nama gah, dan pada masa sama dia merupakan muka baru yang diberi kepercayaan oleh PN, itu bukan bermakna peluangnya untuk menang sesuatu yang mustahil.

“Sejarah pernah membuktikan ada calon yang sama gah seperti Datuk Seri Shafie sebelum ini tumbang dengan calon yang disebut-sebut sebagai underdog.

“Jadi kita juga mengharapkan keajaiban seperti ini berulang di DUN N65 Senallang ini,” katanya yang meletakkan persaingan di Senallang kini di takat 50-50 dan apa-apa pun boleh terjadi.

Pun begitu, dia berasakan Shafie perlu berhenti memainkan sentimen seolah-olah PN dan BN merupakan parti asing dari semanjung sementara hanya Warisan parti terbaik untuk Sabah.

Dia juga berharap mainan sentimen yang menyalahkan Umno atas segala masalah yang melanda Sabah pada masa kini wajar ditamatkan.

Katanya, kempen sebegitu seolah-olah “memukul diri sendiri” kerana semua orang tahu Shafie pernah menjadi naib presiden Umno, malah dalam pentadbiran Umno juga, dia pernah menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Kalau beliau mengatakan Umno gagal membawa pembangunan ke Sabah ini, kegagalan tersebut juga perlu disandarkan atau diletakkan sebagai salah satu daripada kelemahan atau kesalahan beliau.

“Kerana beliau merupakan menteri yang diberikan tannggungjawab untuk menjaga hal ehwal luar bandar pada masa tersebut,” tambahnya ketika ditemui dalam program bual bicara mesra di pusat daerah mengundi di Kampung Senallang.

Di Semporna, selain sokongan berdegar-degar di pentas ceramah, mungkin ada hal yang terpendam di hati segelintir pengundi yang perlu diambil kira Shafie, seperti disuarakan oleh pengundi Bajau di Bangau-Bangau.

Mereka masih menyanjungi Shafie, namun sempat berkongsi rasa terkilan dengan layanan buruk yang pernah diterima daripada “orang-orang di bawah Shafie”.

Ada yang mendakwa tidak dipeduli apabila ke rumah Shafie sebelum penamaan, ada yang mendakwa diminta agar balik oleh salah seorang calon sambil menegaskan, mereka tidak menyediakan wang untuk penyokong.

Sebab itu, kata mereka, ada sebahagian penduduk beralih arah ke parti lain.

“Apa-apa pun, kami masih undi Warisan. Kami masih ingat jasa dia (Shafie),” kata seorang penduduk kepada Malaysiakini.

Tinggalkan komen anda