Laluan sukar buat Perikatan, Bersatu jika DUN Johor bubar


shadow

GABUNGAN parti Perikatan Nasional (PN) bakal menempuh laluan sukar sekiranya DUN Johor dibubarkan dalam masa terdekat untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Anggota dan pemimpin akar umbi Umno memberitahu The Malaysian Insight, ini memandangkan mereka berat hati untuk bekerjasama dengan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN).

Mereka antara lain membangkitkan isu jentera Bersatu yang lemah di akar umbi berbanding Umno, selain soal calon dan kerusi yang akan ditandingi parti masing-masing.

Seorang daripadanya memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak menolak kemungkinan jentera akan mensabotaj jika calon Barisan Nasional (BN) atau PAS tidak diletakkan di kawasan tersebut.

“Untuk saya berkempen bagi calon Bersatu memang tidak akan berlaku, mereka ada berapa cawangan sahaja di Parlimen Labis, tak sampai 20, kita Umno ada lebih 40 cawangan.

“Andai kata mereka meletakkan calon di sini, kami jentera Pemuda Umno akan boikot. Kalau calon PAS kami boleh terima. (Kalau) Bersatu, minta maaf. Memang kami tolak,” katanya.

Anggota dari bahagian Labis itu berkata mereka akan tetap dengan pendirian itu walau sekiranya kempen disertai pemimpin utama parti Bersatu.

“Kalau pemimpin atasan turun kempen sekalipun kami tidak akan bantu jentera,” katanya dengan syarat identiti dirahsiakan.

Ia dijangka menyukarkan gerak kerja kempen pilihan raya di kawasan yang ditandingi Bersatu walau parti itu sudahpun diterima secara rasmi menyertai MN hujung bulan lalu.

Parti itu menyertai MN selepas jemputan rasmi dibuat presiden Umno dan PAS.

Menyedari perkara itu, Ketua Pemuda Umno Segamat Bastien Onn berkata sentimen itu dikesan dalam jentera akar umbi Umno, terutamanya sayap pemuda.

Exco Pemuda Umno itu menyarankan pemimpin tertinggi menjelaskan kepada jentera bagi mengelakkan kerusi terlepas ke tangan Pakatan Harapan (PH).

“Kepimpinan harus mendengar pandangan akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan.

“Jika mereka mempunyai pandangan yang berbeza dan lebih baik, kepimpinan harus menerangkan kepada akar umbi. Ini penting untuk mengelakkan akar umbi kecewa dengan keputusan mereka,” kata Bastien.

Johor bubar DUN?

Cakap-cakap mengenai pembubaran DUN Johor itu semakin kuat apabila kerajaan negeri ditunjangi Umno dan Bersatu dengan 29 kerusi itu kini kian goyah.

Ia ekoran kehadiran bekas menteri besar Osman Sapian ke kempen parti Pejuang yang diasaskan Dr Mahathir Mohamad di Pilihan Raya Kecil DUN Slim di Perak bulan lalu.

Sekiranya Osman beralih menyokong PH, ia akan menyebabkan DUN Johor tergantung dengan 28 kerusi di kedua-dua blok.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Megat Najumddin Megat Khas semalam pada awalnya dilaporkan berkata keahlian Osman sudahpun dilucut serta-merta dan tidak perlu dipanggil memberi penjelasan.

Megat Najmuddin kemudiannya menjelaskan, Osman akan tetap dipanggil kepada Lembaga Disiplin Bersatu memandangkan parti tidak mempunyai bukti kukuh kesalahannya.

Dalam satu wawancara, Osman menjelaskan tindak tanduknya hanyalah untuk memberi kesedaran dan demi maruah Bersatu yang seolah-olah diperkecilkan Umno.

“Bersatu kini dibuli Umno, termasuk tidak diberi ruang dalam kedudukan jawatan dan digasak dengan pelbagai tohmahan.

“Daripada pemimpin pusat sehingga negeri, Umno tuduh parti Bersatu tidak wajar diberikan sebarang kerusi dan hanya tumpang pengaruh orang.

“Mengapakah kita diam? Tiada orang kita pertahankan parti, mengapa tiada pula tindakan diambil kepada Umno?

“Oleh sebab itu, saya buat macam ini supaya ada kesedaran di peringkat kepimpinan dan ahli parti,” kata Osman, dalam wawancara tersebut.

Osman bagaimanapun sedia menyokong parti lain sekiranya dipecat daripada parti namun pada masa ini masih lagi bersama Bersatu.

“Tetapi kalau saya dipecat sebelum 10 September (apabila DUN Johor bersidang), maka saya kena duduk di kerusi Bebas, atau saya nak isytihar masuk parti baharu, wallahuaklam.

“Kalau (Bersatu) pecat saya, saya sokong Bebas, maknanya dia tidak suka saya,” kata Osman.

Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang pula mengesahkan Osman masih lagi ahli parti walaupun terdapat desakan agar Adun Kempas itu ditujuk ke jawatankuasa disiplin parti.

“Osman masih ahli Bersatu, beliau masih belum isytiharkan apa-apa, kalau letak jawatan mesti beliau akan hantar surat kepada saya atau (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin,” katanya.

Mazlan memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu dan komponen MN tidak mempunyai sebarang masalah di Johor.

“Hubungan Umno dan Bersatu biasa sahaja, tidak ada masalah, tidak ada apa-apa pun. Kalau berlaku PRN. Tiada masalah, kita bersedia,” kata Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa.

Desakan untuk mengenakan tindakan ke atas Osman itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu Johor, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Pulai Yacob Atan.

Tiada program bersama

Pemimpin tempatan juga melihat, tiada program akan umbi dan kemasyarakatan melibatkan penyertaan Bersatu bersama Umno dan PAS walaupun parti itu menyertai PN dan menjadi kerajaan.

Walhal Umno dan PAS melalui MN di Johor sering mengadakan program bersama-sama dan sudah membentuk jawatankuasa di peringkat negeri bagi menyelaras program mereka.

Ketua Armada Bersatu Pulai Che Wan Farid berkata, pemimpin akar umbi sepertinya kini sedang menunggu arahan Bersatu Pusat sebelum menganjurkan program bersama dalam MN.

“Kita tunggu arahan daripada Pusat, lebih-lebih lagi Bersatu sekarang sebahagian daripada MN,” katanya.

Adun Bersatu Permas Che Zakaria Mohd Salleh pula berkata, walaupun mereka tidak menganjurkan program bersama, Umno dan PAS sentiasa diundang dalam program mereka.

“Buat masa sekarang kita buat kerja masing-masing, kalau ada program kita jemput komponen untuk hadir. Mana yang hadir, adalah.

“Kita ada dah buat program jemput Umno dan PAS, kita akan buat program kemasyarakatan kita jemput sekali Umno dan PAS,” katanya.

Sidang DUN Johor penentu?

Tumpuan kini pada persidangan DUN Johor pada 10 September depan yang dilihat menjadi penentu sama ada Hasni mempunyai majoriti untuk mengekalkan kedudukan kerajaan PN di negeri itu.

Che Zakaria berkata beliau tidak melihat akan berlaku sebarang perubahan dalam kedudukan di DUN, bagi pihak Bersatu.

Katanya, laporan akan berlaku pembubaran DUN Johor juga hanya setakat khabar angin.

“Kalau nak pilihan raya kita yang ubah, dekat Dewan bagi kita tidak ada sebarang  perubahan, kerajaan PN masih stabil.

“Kalau nak bubar itu (rasanya) tak betullah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Che Zakaria sebelum ini dipecat daripada jawatan ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Beliau juga membangkitkan rasa tidak puas hati apabila pengagihan jawatan tidak dibuat dengan adil antara Bersatu dan Umno.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengerusi lembaga Kejora. 

Tinggalkan komen anda