Jangan jadi alat DAP, kata veteran Umno


shadow

VETERAN Umno Tengku Razaleigh mengingatkan ahli DAP Melayu terutama ahli Parlimen dan wakil rakyat supaya berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh parti itu untuk menguasai bangsa sendiri.

Namun lebih baik lagi jika orang Melayu dalam parti itu boleh menguasai DAP, kata ahli Parlimen Gua Musang itu.

“Tapi terpulang kepada anak Melayu muda yang tertarik dengan apa yang ditawarkan DAP kerana kalau mereka fikir boleh kuasai DAP baguslah jalankanlah.

“Tapi jangan dijadikan alat kumpulan dalam DAP untuk menguasai orang Melayu. Jadi saya rasa pandai-pandailah. Nak nasihat secara langsung tak dapat tapi pandai-pandailah fikir.

“(Mereka perlu ingat) ini asalnya Tanah Melayu dan memikirkan tiada tempat lain orang Melayu boleh pergi kecuali inilah tanah pusaka kita,” katanya dalam wawancara khas dengan Insight Talk.

DAP ditubuhkan pada 1965 oleh beberapa pemimpin yang keluar dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.

Parti itu selalu digambarkan sebagai parti berasaskan Cina kerana majoriti anggotanya adalah kaum itu dan sering dituduh bersikap cauvinis dan menyokong komunis.

Untuk melunakkan imej tersebut, DAP meletakkan calon Melayu bertanding dalam pilihan raya bermula tahun 1969 dengan 10 orang calon.

Ahli DAP Melayu pertama yang dipilih sebagai ahli parlimen adalah Ahmad Nor yang menang di Bayan Baru pada tahun 1990.

Pada tahun 2013, DAP meletakkan empat calon Melayu untuk bertanding di Bukit Bendera, Raub, Tajung Piai dan Mentakab.

Keempat-empat kerusi Parlimen dan negeri itu dimenangi DAP.

DAP turut melantik wakil Melayu ke jawatan utama parti, seperti ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang kini dilantik sebagai naib presiden.

Tujuh lagi wakil Melayu DAP menang dalam PRU14 termasuk Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).

Empat lagi Edry Faizal (Dusun Tua), Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Young Syefura (Ketari) dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis).

Mengulas falsafah dianjurkan DAP, Tengku Razaleigh berkata beliau melihat DAP masih memegang ideologi sama seperti PAP biarpun meninggalkan parti itu lebih empat dekad.

“DAP dulu dan sekarang sama cuma lain orang memimpin itu saja. Tapi asasnya perjuangan DAP tidak berbeza dengan dibawa selepas PAP Singapura.

“Slogan Malaysia untuk Malaysia masih belum dapat dipadamkan DAP,” kata putera raja Kelantan yang popular dengan nama jolokan Ku Li itu lagi.

Katanya, slogan itu dilaungkan DAP untuk meraih sokongan dari kalangan pengundi yang berkongsi sentimen sama.

Sewaktu menganggotai kerajaan Pakatan Harapan (PH), Umno dan PAS berkempen untuk menggambarkan perdana menteri waktu itu Dr Mahathir Mohamad dikuasai DAP.

Kedua-dua parti majoriti Melayu itu mendakwa pengaruh DAP itu menyebabkan hak dan keistimewaan Melayu semakin terhakis sewaktu pentadbiran PH.

Tinggalkan komen anda