Ayah tak pernah rancang untuk saya ganti Anwar sebagai PM, kata Mukhriz


shadow

TIDAK pernah ada rancangan untuk saya menggantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas ayah berundur, kata Mukhriz Mahathir.

Bekas menteri besar Kedah itu memberitahu Insight Talk yang tohmahan sebegitu dibuat oleh mereka yang tidak tahu proses pelantikan seorang perdana menteri. 

Mukhriz berkata ayahnya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, memang bertegas Anwar akan menggantikannya apabila negarawan itu berundur.

“Saya tak ada dalam rancangannya (untuk menggantikan Anwar sebagai PM) dan jawatannya adalah untuk Anwar ambil alih,” katanya.

Mukhriz berkata beliau sendiri pernah bertanya Dr Mahathir tentang peralihan kuasa itu.

“Sebagai anak, saya tanya dia tentang peralihan kuasa, dan dia beritahu saya dia memang mahu penuhi janji (kepada Anwar).

“Apapun yang berlaku, dia kata, dia akan serahkan kepada Anwar. Dia mahu tamatkan kerjaya politiknya, legasinya, dengan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar. Hanya tunggu masa.”

Dr Mahathir menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia selepas kejayaan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018. Pelantikan itu dipersetujui PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dengan janji Anwar akan menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, isu peralihan kuasa jadi isu hangat dalam kalangan ahli PKR dan penyokong Anwar yang kerap mendesak Bersatu dan Dr Mahathir memberikan tarikh tepat peralihan. 

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata beliau akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada hujung tahun ini.

Isu itu bertambah hangat sehingga Dr Mahathir dituduh melengahkan peralihan kuasa dan dianggap cuba melanggar janji kepada Anwar dan parti komponen PH.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari lepas susulan keputusan Bersatu keluar daripada PH.

Pada mulanya, Umno dan PAS menyuarakan sokongan kepada negarawan itu untuk terus memimpin negara.

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu memutuskan untuk menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional selepas Dr Mahathir enggan bekerjasama dengan pemimpin korup dalam Umno yang kini sedang dibicara mahkamah.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir dan Anwar gagal memberikan jumlah sebenar ahli Parlimen yang menyokong mereka kepada Yang di Pertuan Agong.

Tinggalkan komen anda