Zahid, Hadi tandatangan surat jemput Bersatu sertai Muafakat Nasional


shadow

Umno akhirnya menamatkan polemik penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional (MN) apabila mengesahkan telah menghantar jemputan kepada parti itu untuk menyertai gabungan yang diasaskan bersama PAS.

Perkara itu disahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam satu ciapan di Twitternya pagi ini.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dicapai berdasarkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh timbalan presiden dari kedua-dua parti utama MN.

“Mesyuarat MN yang pengerusikan bersama Mohamad Hassan (Timbalan Presiden Umno) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS) telah memutuskan untuk menjemput PPBM (Bersatu) menyertai MN.

“Saya dan Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) tandatangan surat jemputan kepada PPBM (Bersatu) berdasar kepada keputusan mesyuarat berkenaan,” tulis Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Pada 15 Ogos lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memaklumkan secara rasmi bahawa penyertaan Bersatu dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata hasrat Bersatu untuk menyertai MN telah dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Melalui penyertaan Bersatu, MN akan menjadi sebagai gabungan besar yang mendukung Perikatan Nasional (PN).

Hasrat Bersatu itu sebelum ini mendapat reaksi kurang senang dalam kalangan pemimpin Umno yang mengaitkannya dengan ketidakpuasan hati akar umbi Umno.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata akar umbi Umno kurang senang dengan penyertaan Bersatu ke dalam MN.

Manakala Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memberi lima sebab kemarahan akar umbi parti itu pada Bersatu.

Tinggalkan komen anda