“Memang betul saya tidak mengundi di sini. Soal berasal mana tidak penting. Yang penting kredibiliti calon”, demikian kata calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili parti baru Pejuang yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menurut beliau, persoalan calon anak tempatan atau tidak bukanlah satu keutamaan, sebaliknya kredibiliti seorang calon lebih penting dalam memilih Adun Slim nanti.
“Buat masa ini, pada saya apa yang lebih yang penting, saya mengajak pengundi-pegundi di slim ini memilih calon yang mempunyai kredibiliti.
“Yang kedua, calon yang anak muda dan calon yang mampu menawarkan khidmat yang terbaik kepada pengundi-pengundi di DUN Slim,” katanya kepada pemberita selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan nama calon yang layak bertanding di Dewan Seri Tanjong, Bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim, hari ini.
Terdahulu, Amir seorang peguam syarie diminta mengulas dakwaan Umno sebelum ini yang mengatakan bahawa pengundi Slim perlu menolak Amir atas faktor beliau bukan berasal dari Slim sebaliknya dari Teluk Intan.
Amir, graduan undang-undang UIA merupakan anak bongsu daripada lima adik beradik, ayahnya, allahyarham Mohamad Tanusi Maulut ialah bekas naib kadi Teluk Intan, manakala ibunya seorang pesara guru agama.
Pada PRK kali ini, Amir bertanding menggunakan lambang “pokok” dengan namanya tersernarai pada nombor satu di atas kertas undi.
Tinggalkan komen anda