Pejuang ditubuhkan untuk halang Anwar jadi PM


shadow

 Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru diumumkan Dr Mahathir Mohamad ditubuhkan untuk memastikan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak dijadikan perdana menteri, kata Umno.

Ketua penerangannya, Shahril Sufian Hamdan, juga mendakwa kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adakah kerana agenda peribadi membabitkan dua individu berkenaan.

“PH ini satu lagi yang gagal adalah mereka gagal berkawan sesama sendiri. Bukan hanya janji dia kepada rakyat tidak tertunai, tetapi janji sesama sendiri pun dia tak tunai.

“Bergaduh dan bermain kuasa antara blok-blok yang mana diketuai oleh dua individu yang kita tahu dah berdekad-dekad bergaduh.

“Pergaduhan antara mereka mejadi satu isyarat kepada kita. Kalau antara mereka pun tak boleh nak berdamai, macam mana nak mentadbir negara?” katanya semasa berceramah di Felda Gunung Besout 2, malam tadi.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, difahami pemimpin Umno itu merujuk kepada Mahathir dan Anwar.

“Hari ini ada parti baru. Namanya Pejuang. Pejuang untuk apa, kalau tidak lain tidak bukan berjuang untuk agenda peribadi.

“Dia (Dr Mahathir) dah jadi perdana menteri dua kali. Saya tak pasti apa lagi dia berjuang.

“Tapi agak-agak dia nak berjuang antara lain untuk memastikan seorang lagi itu (Anwar) tak jadi perdana menteri,” katanya di hadapan lebih 100 hadirin.

Masih dalam proses daftar

Untuk rekod, Mahathir dan Anwar kini menjadi Pengerusi PH dilihat tidak lagi sehaluan berhubung calon PM bagi blok pembangkang yang kini dikenali sebagai PH Plus.

Ekoran krisis dalaman PH, BN kembali menjadi kerajaan pada akhir Feb lalu dengan bantuan Muhyiddin Yassin yang membawa Bersatu meninggalkan gabungan berkenaan.

Ia turut dibantu langkah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, bersama sekumpulan anggota parlimen parti itu berpaling tadah untuk bekerjasama dengan Muhyiddin serta BN dan PAS.

Anwar dan Mahathir – yang kini saling memerlukan untuk membentuk majoriti di Dewan Rakyat – berada dalam kebuntuan berhubung siapa yang wajar dinamakan sebagai calon perdana menteri jika usaha PH Plus itu berjaya.

Selepas Mahathir hilang kelayakan sebagai anggota Bersatu yang ditubuh olehnya, dia bertindak mengumumkan parti baru dikenali sebagai Pejuang.

Di PRK Slim, Pejuang diwakili Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang bertanding sebagai calon bebas kerana Pejuang masih dalam proses pendaftaran.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya selama empat penggal Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.

Pada PRU lalu, Mohd Khusairi mempertahankan kerusi DUN Slim dengan mengalahkan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zalfadli Zainal (PAS), dengan majoriti 2,183 undi.

Tinggalkan komen anda